Kerajaan tambah peruntukan usahawan kecil dalam Belanjawan 2027

Kerajaan tambah peruntukan usahawan kecil dalam Belanjawan 2027

ANWAR Ibrahim bertemu peniaga-peniaga kecil yang hadir pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah di Anak Bukit, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan bercadang untuk menambah peruntukan bagi membantu golongan usahawan kecil menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perhatian perlu diberikan kepada peniaga kecil kerana bantuan bernilai kecil sekalipun mampu memberi kesan besar terhadap pendapatan dan kelangsungan perniagaan mereka.

Katanya, pendekatan menerusi Skim Usahawan Bangkit juga perlu diteruskan dengan memastikan bantuan disalur berdasarkan keperluan sebenar penerima, termasuk penyediaan peralatan yang boleh meningkatkan kapasiti pengeluaran dan pendapatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya sebenarnya sangat terharu kerana mereka ini sangat berterima kasih dengan bantuan yang kita berikan, apabila mereka jumpa saya walaupun dapat bantuan kecil, ada yang dapat RM1,800 tapi mereka sampai menangis-nangis bila jumpa saya, berterima kasih dengan saya.

“Dalam belanjawan kita bulan depan, insya Allah saya nak tambah peruntukan untuk usahawan-usahawan kecil macam ini,” katanya pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Kedah di sini, hari ini.

Ujar Perdana Menteri, bantuan tersebut perlu diberikan secara terus tanpa melalui terlalu banyak lapisan agensi atau proses yang boleh melambatkan penerimaan bantuan oleh usahawan.

Katanya, kerajaan juga perlu turun padang mengenal pasti keperluan sebenar usahawan sebelum menentukan bentuk bantuan yang sesuai.

“Orang ini sudah buat kuih 10 tahun, tetapi pendapatan tidak meningkat kerana alat yang ada hanya mampu menghasilkan setakat itu sahaja.

“Jadi kita beri dan kemudian tengok dua bulan lagi berapa pendapatan dia, naik atau tidak, mereka ini perlu lakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga akan menggalakkan masyarakat dan usahawan kecil mengenal pasti serta mencadangkan usahawan kecil di kawasan masing-masing yang layak menerima bantuan.

“Kalau ada kawan lain yang  patut diberikan bantuan atau peluang, nanti ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) tentukan cara mana dia boleh bantu. Saya lebih suka cara begitu.

“Begitu juga kalau ada usahawan kecil lain yang mereka kenal di kampung lain yang rajin, mereka boleh maklumkan kepada kita untuk bantuan seterusnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×