KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) dijangka mengadakan bedah siasat bagi meneliti faktor yang menyumbang kepada kekalahannya dalam pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pengalaman di Melaka merupakan satu pengalaman untuk parti itu.
“Kita mengambil iktibar, bermuhasabah atas apa yang berlaku. Pihak parti akan melakukan post-mortem untuk mengenal pasti apa aspek yang perlu kita rombak.
“Insya-Allah minggu ini, majlis khusus Pakatan Harapan akan bermesyuarat untuk mengadakan post-mortem awal,” katanya.
Beliau berkata, prestasi kurang memberangsangkan gabungan itu memberi gambaran bahawa terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, khususnya dalam aspek pengurusan jentera dan pelaksanaan kempen pilihan raya.
Menurutnya, antara perkara yang perlu diberikan perhatian ialah perbezaan tahap kesiapsiagaan jentera di kawasan bandar dan luar bandar, selain kemampuan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendepani cabaran sepanjang tempoh berkempen.
“Ada yang memberi pandangan awal mengenai tahap kesediaan jentera di lapangan terutama di kawasan luar bandar.
“Di kawasan bandar, biasanya jentera lebih kukuh dan lebih bersedia. Tetapi bagi kerusi-kerusi PKR, mungkin ada isu dari segi jentera dan tahap kesiapsiagaan calon untuk menghadapi serta melaksanakan kempen,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program keselamatan warga emas di Razak Mansion, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau berkata, PH turut meneliti corak pengundian golongan muda selain mengambil perhatian terhadap kadar keluar mengundi yang lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Bagaimanapun, katanya, terdapat perkembangan positif apabila DAP yang merupakan parti komponen PH berjaya mempertahankan semua kerusi yang disandangnya.
“Ini kali pertama sejak PRN Sabah di mana DAP tidak kehilangan kerusi yang disandang. Jadi, ini adalah perkembangan yang positif,” katanya.
Mengulas persediaan PH menghadapi pilihan raya akan datang termasuk di Sarawak, Fahmi berkata, gabungan itu perlu mengambil pengajaran daripada keputusan di Melaka bagi memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti. – UTUSAN









