PETALING JAYA: Penyanyi, Nourul Wahab mencadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memeriksa kadar radiasi daripada pengimbas kenderaan di semua pelabuhan negara bagi memastikan tahap pendedahannya tidak membahayakan kesihatan, khususnya pemandu lori.
Nourul atau Noorulhuda Abdul Wahab, 49, berkata, pemeriksaan itu penting bagi memastikan kadar radiasi daripada pengimbas berkenaan selamat kepada pemandu.
“Boleh tidak KKM periksa kadar radiasi daripada pengimbas di semua pelabuhan di Malaysia, sama ada berbahaya atau tidak?
“Apabila lori treler masuk, kenderaan itu diimbas bersama pemandunya. Mahu tahu, adakah ini salah satu sebab pemandu lori dapat kanser?,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.
Tambah Nourul, arwah abangnya juga pernah berpendapat bahawa pendedahan kepada radiasi daripada pengimbas berkenaan mungkin menjadi salah satu punca dia menghidap kanser.
“Arwah Abang saya salah satunya terkena kanser akibat radiasi berkenaan. Ini pendapat dari arwah sendiri,” katanya.
Untuk rekod, abang kepada penyanyi Nourul Wahab Depp, iaitu Allahyarham Mohamad Rizal Ab Wahab, telah menghembuskan nafas terakhir pada November 2026 selepas bertarung melawan penyakit kanser darah. – UTUSAN











