TAPAH: Seorang pemandu lori didenda RM9,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memindahkan 101 ekor kambing tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Perak pada Mei lalu.
Orang Kena Saman (OKS), Mohamad Haikal Najmie Mohd. Fauzi, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hidayu Zakaria.
Mohamad Haikal Najmie turut berdepan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan wang hasil jualan haiwan ternakan sebanyak RM28,575 dilucuthak kepada kerajaan manakala lori pula diserahkan kepada pemilik asal.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa memindahkan 101 ekor kambing menggunakan lori tanpa kebenaran bertulis daripada Pengarah DVS Perak atau mana-mana pegawai diberi kuasa di hentian sebelah Ladang Bikam arah selatan pada pukul 3.30 pagi, 21 Mei 2026.
Dia didakwa mengikut Perenggan 3(a) Perintah Menteri Besar bagi Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut Perak 2008, dibaca bersama Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647) dan Seksyen 36(7) Akta Binatang (Pindaan) 2013 (Akta A1452) yang memperuntukkan denda maksimum RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Perak, Roziman Awang Tahrin. – UTUSAN










