JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) bertekad untuk merangka serta melancarkan pelan baharu Malaysian Indian Blueprint sebagai kesinambungan usaha memperkasa komuniti itu secara menyeluruh.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelan baharu tersebut bakal dirangka oleh MIC bersama-sama rakan parti komponen dan sekutu masyarakat India dalam gabungan itu bagi menyemak semula pelan asal yang diperkenalkan kerajaan BN pada 2017.
Menurut beliau, langkah menyemak dan memperkukuh semula pelan berkenaan amat bertepatan memandangkan inisiatif yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu bakal genap sedekad pada tahun hadapan.
Tambahnya, beliau mahu MIC mula merangka pelan baharu bersama parti sekarang, dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) sebagai salah satu keutamaan untuk membuka laluan kepada pekerjaan bergaji baik.
“Saya akan bersama-sama dengan rakan-rakan untuk terus memperkukuhkan Indian Blueprint. Jika dahulu ‘Bosku’ (Najib) boleh melakukannya, kita akan menyambung tugas beliau dengan lebih baik.
“Ini bukan retorik politik atau janji kosong. Ini Zahid Hamidi, apa yang dia cakap, dia pasti buat. Namun, dengan syarat semua kepimpinan mendukung usaha ini untuk kita bergerak bersama-sama sebagai satu pasukan yang kuat dalam BN,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan MIC Kali ke-80 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri meminta Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswara dan kepimpinan parti-parti India dalam BN segera menggerakkan rangka kerja bagi merealisasikan pelan baharu berkenaan.
“Tahun hadapan genap 10 tahun pelan tindakan ini. Saya mahu MIC mula merangka pelan baharu bersama rakan-rakan parti India lain dalam BN untuk menyemak semula dan membawa kembali Malaysian Indian Blueprint ini.
“Saudara Tan Sri Vicky (Vigneswaran) dan rakan-rakan lain, kita akan lancarkan pelan baharu ini. Ini bukan retorik dan janji politik, tetapi azam saya bersama rakan-rakan dalam BN untuk melaksanakannya,” tegasnya. – UTUSAN











