UMNO Terengganu ketandusan pemimpin pelapis apabila tiada muka-muka baharu bakal diketengahkan sebagai calon kerusi parlimen di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Ini terbukti apabila muka-muka lama didapati masih disenaraikan sebagai calon untuk dipertaruhkan.
Kebanyakan bakal calon tersebut juga dalam kalangan pemimpin UMNO yang telah lama berada di peringkat bahagian.
Penampilan beberapa pemimpin yang dikategori sebagai calon kitar semula itu didapati mengecewakan sebahagian ahli parti di peringkat akar umbi.
Kebanyakan ahli UMNO mengharapkan lebih ramai muka baharu dan segar diberi kepercayaan sebagai calon di kerusi parlimen dalam PRU15.
Mereka juga dikatakan mahu perubahan dalam barisan calon kerana didapati beberapa calon baharu berkaliber yang mampu memberi saingan dan menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) serta Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.
Difahamkan antara muka-muka lama yang masih disebut-sebut kembali dipilih sebagai calon ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Parlimen Kemaman), Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Din Adam (Parlimen Dungun) dan Ketua UMNO Bahagian Marang, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (Parlimen Marang).
Muka-muka lama lain, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh (Parlimen Kuala Terengganu), bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman (Parlimen Kuala Nerus), Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat (Parlimen Hulu Terengganu), Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh (Parlimen Besut) serta Ketua UMNO Bahagian Setiu, Datuk Sabri Mohd. Nor (Parlimen Setiu).
Pada masa sama, pemimpin-pemimpin UMNO terbabit juga dikatakan masih berminat untuk bertanding dan mereka yakin dapat memberi kemenangan kepada parti.
Sementara itu, antara muka baharu yang boleh diberi kepercayaan untuk bertanding adalah Ketua Pemuda UMNO Negeri, Tengku Haphiz Tengku Putera dan Ketua Pemuda UMNO Marang, Zul Fadli Rozi.
Sebelum ini, Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Said memberitahu, UMNO Terengganu yakin dapat memenangi empat daripada lapan kerusi Parlimen yang dipertandingkan termasuk mempertahankan Parlimen Besut.
Selain itu, Ahmad juga percaya dapat merampas semula kerusi Parlimen Kuala Nerus apabila ketika ini kerusi tersebut dikatakan masih mendapat sokongan seimbang antara UMNO dan Pas.- UTUSAN










