Mengapa sukar hamil? - Utusan Malaysia

Mengapa sukar hamil?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kesuburan ditakrifkan sebagai keupayaan pasangan untuk mendapat zuriat melalui amalan hubungan intim yang normal. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, pasangan dikatakan mengalami masalah kesuburan ataupun infertiliti apabila gagal mencapai kehamilan selepas tempoh 12 bulan mengamalkan hubungan seks yang normal dan berkala.
Masalah ini boleh datang sama ada daripada lelaki atau perempuan atau kedua-duanya. Namun, dalam perbincangan kali ini, kita fokus kepada masalah kesuburan dalam kalangan wanita.
Setiap wanita merasakan peranannya sebagai seorang wanita akan dapat dipenuhi selepas memperoleh zuriat. Namun, disebabkan beberapa faktor, peranan ini mungkin tidak dapat dipenuhi dan menjadi satu beban yang terpaksa ditanggung.
Kajian menunjukkan ramai pasangan terutamanya wanita berpotensi mengalami masalah psikologikal akibat stigma daripada pelbagai pihak. Ketidakupayaan untuk mendapat zuriat membawa kepada rasa malu, bersalah dan rendah harga diri dan akhirnya boleh membawa kepada depresi, anxiety dan penurunan kualiti hidup.
Oleh itu, adalah penting untuk masyarakat mengetahui tentang faktor berlakunya masalah kesuburan dalam kalangan wanita agar dapat memahami keadaan mereka di samping memberi sokongan emosi yang diperlukan. Emosi yang stabil dapat meningkatkan tahap kesihatan ke arah yang lebih baik dan mampu meningkatkan peluang kehamilan.
Masalah kesuburan dalam kalangan wanita boleh disebabkan oleh gangguan atau penyakit yang melibatkan organ reproduktif (peranakan) seperti berikut:

 Struktur sistem reproduktif
Secara asasnya, struktur reproduktif yang normal diperlukan bagi membolehkan hubungan seks berlaku dan sperma (benih lelaki) boleh bercantum dengan ovum (telur wanita). Namun, keadaan seperti ketiadaan bukaan pada faraj (vagina), vaginismus (faraj tertutup) boleh menghalang kemasukan zakar.
 Salur peranakan atau tiub fallopio
Tiub Fallopio adalah lokasi di mana berlakunya pertemuan sperma dan ovum. Namun, jangkitan, komplikasi keguguran tidak selamat dan pembedahan di abdomen dan pelvik boleh mengganggu proses pertemuan ini akibat tiub menjadi tersumbat ataupun rosak.
 Uterus @ rahim
Selepas berlaku persenyawaan, gamet akan menempel pada dinding rahim seterusnya membesar sehingga cukup bulan sebelum dilahirkan. Namun demikian, bentuk rahim yang tidak normal, dinding rahim yang nipis, jangkitan atau ketumbuhan pada dinding rahim boleh mengganggu proses penempelan gamet atau keguguran di fasa awal kehamilan.
 Ovari@ kilang telur
Secara purata, perempuan dilahirkan dengan anggaran 4,00 ribu folikel telur di dalam ovari. Ia akan berkembang dan mulai matang sejurus selepas baligh dengan rangsangan hormon kesuburan untuk mencapai ovulasi. Hanya telur yang matang akan dibebaskan dan mampu untuk bersenyawa dengan sperma. Tetapi, keadaan seperti polycystic ovarian syndrome (PCOS), gangguan ovari yang lain seperti ketumbuhan menyebabkan kematangan telur tidak berlaku dan ini mengganggu proses persenyawaan.
 Gangguan hormon
Hormon-hormon kesuburan adalah di bawah kawalan sistem hormon yang berpusat di otak iaitu di hipotalamus dan kelenjar pitutari. Ia diperlukan bagi memelihara kitaran haid, mempengaruhi ketebalan dinding uterus dan perkembangan folikel telur. Gangguan pada sistem hormon boleh menjejaskan rembesan dan fungsi hormon kesuburan ini seperti ketumbuhan di pituitari.
 Faktor-faktor lain
Kadar kesuburan berkait rapat dengan umur wanita. Semakin meningkat usia, semakin rendah peratus untuk hamil kerana bilangan telur yang semakin menyusut di samping faktor kesihatan yang boleh mengganggu kadar kesuburan. Obesiti juga dikenali sebagai faktor penyumbang kepada ketidaksuburan. Wanita dengan berlebihan berat badan dan obese biasanya mengalami gangguan hormon kesuburan yang membawa kepada gangguan ovulasi. Walaupun berkemungkinan ada di antara wanita obese yang mempunyai kitaran haid yang normal, rembesan hormon kesuburan yang rendah mengganggu potensi kesuburan mereka.
Memahami punca masalah sukar hamil dapat membantu wanita dan pasangan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan yang diperlukan daripada pakar. Masalah yang dialami boleh dirawat dengan pelbagai kaedah perubatan sedia ada dan amalan hidup yang sihat.
Selain itu, sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya suami dan keluarga terdekat mampu memberikan impak yang baik terhadap kesihatan emosi mereka yang secara tidak langsung dapat meningkatkan peluang kehamilan. Jauhilah stigma dan salah tanggapan agar dapat menjamin kesejahteraan rumah tangga, keluarga dan masyarakat.

PENULIS ialah Pensyarah di Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya