Amaran serius anak sukar bernafas - Utusan Malaysia

Amaran serius anak sukar bernafas

Dr. Mukmin Mohd. Khairi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Musim panas dan berselang seli dengan hujan ketika ini menyebabkan ramai kanak-kanak mengalami batuk sehingga sukar bernafas.
Masalah sukar bernafas mencatatkan peratusan terbesar punca kanak-kanak dimasukkan ke wad hospital. Bayi atau kanak-kanak yang mengalami kesukaran pernafasan juga antara aduan utama diterima di klinik-klinik kesihatan kerajaan dan swasta.
Pakar Kanak-kanak, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Dr. Mukmin Mohd. Khairi berkata, ibu bapa perlu segera membawa anak ke klinik atau hospital jika mengalami masalah pernafasan berterusan dan gejala dialami tidak sembuh.
“Terdapat beberapa tanda amaran serius yang mana ibu bapa perlu membawa anak-anak segera ke kecemasan di hospital jika pesakit mengalami pernafasan laju dan berombak, sangkar tulang rusuk masuk ke dalam, pucat lesu, atau sianosis iaitu muka berubah menjadi biru terutama di bibir, sekitar mulut, cuping telinga dan hujung-hujung jari.
“Keadaan ini menunjukkan anak kekurangan oksigen. Bagi bayi yang berusia setahun ke bawah, ibu bapa dinasihatkan berjumpa doktor jika anak tidak aktif, kerap berpeluh ketika menyusu, mengalami sianosis ataupun berat badan yang statik atau tidak naik bersama-sama gejala pernafasan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Tambah beliau, jika pesakit mengalami masalah pernafasan berpanjangan  iaitu melebihi dua hingga tiga hari dan semakin lesu dan tidak larat, ibu bapa perlu membawa anak segera untuk mendapatkan rawatan.
Dr. Mukmin berkata, masalah pernafasan  boleh dikategorikan kepada masalah salur pernafasan atas dan salur pernafasan bawah.
“Bagi masalah pernafasan atas, gejalanya termasuk selesema seperti hidung tersumbat atau hidung berair, kahak yang banyak, batuk kering atau batuk basah.
“Sebahagian kanak-kanak mengalami bunyi pernafasan yang tidak normal. Batuk berbunyi keras seperti ‘mengonggong’ yang menyerupai bunyi anjing laut atau singa laut,” katanya.
Sementara itu, masalah salur pernafasan bawah akan menyebabkan gejala batuk, dada berombak, penat, sakit di dada, muntah selepas batuk dan bunyi pernafasan tidak normal seperti bunyi bersiul atau bunyi seperti wisel.

PUNCA-PUNCA
Dr. Mukmin berkata, masalah kesukaran bernafas boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus.
“Kebiasaannya sukar untuk membezakan antara jangkitan paru-paru disebabkan bakteria atau virus. Ada beberapa petunjuk yang penting melalui pengambilan sejarah rawatan pesakit dan pemeriksaan fisikal yang dapat menentukan punca masalah jangkitan paru-paru.
“Jangkitan paru-paru disebabkan virus, kebiasaannya dialami kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah. Ini disebabkan sistem imuniti yang lemah. Anak mungkin mengalami demam secara perlahan-lahan dengan suhu badan naik dan turun,” katanya.
Katanya, kadang-kadang pesakit mengalami ruam disertai demam. Berbeza dengan jangkitan paru-paru disebabkan bakteria yang kerap berlaku secara tiba-tiba, dengan suhu tinggi, bersama-sama gejala kesukaran pernafasan yang lebih serius.
Bagaimanapun katanya, pasca Covid-19 menyaksikan beberapa jangkitan virus yang lebih serius berbanding sebelum ini seperti Influenza, Respiratory Syncial Virus (RSV) dan Adenovirus.
Ibu bapa dinasihatkan memberikan ubat demam (paracetamol) mengikut dos ditetapkan setiap enam jam secara berterusan jika anak mengalami gejala demam yang tinggi.
“Sekiranya anak mengalami masalah hidung tersumbat dan hingus yang banyak, penggunaan alat sedutan hingus selepas titisan air garam atau Sterimar Nasal spray amatlah digalakkan.
“Sekiranya gejala tidak bertambah baik, ibu bapa perlu mendapatkan nasihat doktor dan perawat yang diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

DEHIDRASI
Dr. Mukmin berkata, ibu bapa juga perlu peka dengan risiko dehidrasi ketika anak mengalami masalah pernafasan. Ini kerana kanak-kanak mempunyai risiko lebih tinggi menghadapi dehidrasi akibat kurang minum disebabkan sukar bernafas. Saiz tubuh yang kecil menjadikan mereka lebih mudah kehilangan air.
“Secara amnya, kanak-kanak minum kurang 2/3 daripada jumlah biasa mereka minum ketika sihat. Justeru, anak perlu dibawa ke doktor sekiranya mengalami dehidrasi.
“Antara tanda-tanda anak mengalami dehidrasi adalah lebih banyak tidur berbanding bermain, mata kelihatan tenggelam, menangis dengan hanya sedikit atau tiada air mata, tangan dan kaki sejuk atau berubah warna serta kulit berkedut.
“Tanda-tanda lain adalah lampin kering untuk tempoh  enam jam atau lebih, mulut kering, dan mengalami sembelit,” katanya.

MUDAH BERJANGKIT
Dr. Mukmin berkata, kebanyakan jangkitan paru-paru disebabkan virus sangat mudah tersebar. Sebilangan jangkitan paru-paru bakteria juga boleh berjangkit melalui udara yang dihirup ke dalam paru-paru. Ini dinamakan airborne transmission.
“Terdapat banyak cara untuk mengelakkan terkena penyakit jangkitan paru-paru. Antaranya, mengelak daripada tempat sesak dan menjaga jarak dengan orang sekeliling sekurang-kurangnya satu meter.
“Amalan cucian tangan yang betul dan kerap sebelum dan selepas apa-apa aktiviti. Selain itu, amalan memakai pelitup muka juga sangat digalakkan di tempat sesak seperti di pasar, pusat beli-belah dan taman awam,” katanya.
Pengambilan vaksin secara umum penting untuk kanak-kanak tetapi ia menjadi keperluan kepada kanak-kanak dalam kategori khas seperti berpenyakit kronik, bayi pramatang dan kanak-kanak sindromik.
Rawatan
Rawatan bagi masalah pernafasan adalah berdasarkan tahap keseriusan pernafasan yang dialami oleh pesakit.
“Pesakit akan diberikan bantuan oksigen dan sekiranya lebih serius, bantuan alat bantuan pernafasan akan dimulakan. Gas “Nebulisation” diberikan kepada pesakit yang menunjukkan tanda-tanda kahak di dalam paru-paru atau paru-paru sempit.
“Pesakit juga perlu menjalani rawatan fisioterapi pernafasan. Sedutan kahak juga akan dilakukan kerana kanak-kanak tidak pandai mengeluarkan kahak mereka. Darah pesakit juga akan diambil dan X-ray paru-paru dilakukan bagi membolehkan doktor memastikan jenis jangkitan paru-paru,” katanya.
Apabila punca jangkitan paru-paru dikenalpasti, pesakit juga akan diberikan antibiotik. Bagi kanak-kanak yang kurang minum, rawatan air (IV drip) perlu diberikan untuk mengelakkan risiko dehidrasi.

MAKANAN  
Terdapat beberapa cara pemakanan yang dapat diamalkan untuk meningkatkan imuniti badan.
“Pengambilan buah-buahan berwarna merah atau oren dinamakan Beta carotene fruits kaya dengan vitamin terutamanya vitamin A yang dapat merangsang imuniti Innate iaitu pertahanan badan yang pertama.
“Mangga, betik, tembikai,  melon atau cantalope, tomato dan pic kaya dengan Vitamin A iaitu pengawal yang menyekat mikroorganisme masuk ke dalam badan melalui permukaan kulit, di lapisan air liur pada rongga mulut dan rongga hidung,”katanya.
Tambahnya, kanak-kanak  juga perlu dididik dengan senaman untuk paru-paru kuat dan sihat. Teknik yang terbaik didemonstrasikan oleh ahli fisioterapi adalah Active Cycle of Breathing Technique (ACBT).
“Kitaran aktif teknik pernafasan yang terbahagi kepada tiga iaitu kawalan pernafasan, teknik pengembangan rangka rusuk dan teknik hembusan nafas. Kesemua teknik ini dapat membantu meringankan kahak dan lekatan bendalir pada paru-paru dan mengurangkan risiko jangkitan paru-paru,” jelasnya. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya