Rawatan Veneer: Jalan singkat kepada 'senyuman Hollywood?' - Utusan Malaysia

Rawatan Veneer: Jalan singkat kepada ‘senyuman Hollywood?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Gigi tersusun cantik dan putih mampu menambah keyakinan seseorang apatah lagi apabila perlu berdepan dengan orang ramai dalam urusan seharian.

Justeru ramai yang tertarik dengan rawatan mencantikkan gigi bagi mendapatkan ‘Senyuman Hollywood’ seperti yang digembar-gemburkan dalam media sosial, yang dapat dicapai dalam masa singkat menerusi rawatan veneer pergigian.

Bagaimanapun, rawatan pergigian termasuk veneer perlu dilakukan oleh doktor gigi dan ada kes tertentu perlu dilakukan oleh pakar pergigian jika kes didapati lebih kompleks. Tiada rawatan pergigian yang boleh dilakukan oleh salon kecantikan yang tidak bertauliah.

Pensyarah Pergigian dan Pakar Pergigian Prostodontik, UiTM dan Aktivis i-Medik, Dr. Aini Hayati Abd. Rahim berkata, tanpa kefahaman dan kemahiran asas pergigian, juga kemahiran khas yang memerlukan kepakaran estetik pergigian, terjadilah hasil veneer yang tidak sempurna.

“Tanpa kemahiran asas dan khas, hasil gigi akan menampakkan senyuman yang jongang, pertuturan yang terganggu kerana tisu oral seperti bibir dan lidah lari dari kedudukan asal, bibir yang tertolak jauh ke hadapan dan senyuman yang tampak senget.

“ Lebih membimbangkan akibat menggunakan khidmat doktor gigi tidak bertauliah, hasilnya boleh menyebabkan risiko seperti gigi tidak dapat menggigit makanan seperti biasa. Mereka juga berisiko mengalami jangkitan gusi yang menyebabkan mulut berbau dan gigi mendapat karies,”katanya.

Apakah rawatan veneer?
Sejak akhir-akhir ini, rawatan Veneer mendapat perhatian ramai yang merasakan ia boleh menukar susunan gigi mereka supaya lebih menarik dan secara tidak langsung mencantikkan senyuman mereka.

Dr. Aini Hayati berkata, rawatan veneer adalah rawatan estetik pergigian di mana satu lapisan ‘cengkerang’ seramik pergigian disimen ke atas permukaan gigi bagi menjadikan gigi kelihatan putih dan sempurna bentuknya.

“Lapisan seramik senipis 0.5mm ini biasanya dibuat ke atas enam batang gigi di bahagian atas hadapan gigi. Ini berikutan gigi hadapan menjadi faktor penentu utama estetik dan kecantikan senyuman seseorang. Veneer sedikit sebanyak mampu mengubah warna, susunan, saiz dan kedudukan gigi.

“Rawatan veneer juga tidak semestinya dilakukan ke atas enam batang gigi sekali gus. Ia boleh juga dilakukan ke atas hanya satu batang gigi yang memerlukan penambahbaikan estetik. Pokoknya, veneer dibuat untuk mencapai harmoni estetik gigi-gigi hadapan yang kelihatan apabila senyuman dilemparkan,”katanya.

Menurutnya, sebelum rawatan veneer dimulakan, doktor gigi perlu menemuramah pesakit untuk menentukan apakah jangkaan dan kehendak pesakit. Ini bagi memastikan rawatan yang sesuai dapat diberikan.

Doktor kemudiannya perlu menjalankan analisis teliti ke atas estetik muka, rahang, bibir dan senyuman sebelum meneliti analisis kedudukan, bentuk, saiz dan warna gigi serta gusi pesakit.

“Semua maklumat ini penting supaya perancangan tepat dapat dilakukan ke atas gigi selain mendapatkan hasil yang dikehendaki. Doktor juga perlu bertanggungjawab memastikan hasil senyuman ini dicapai tanpa merosakkan gigi dan tisu oral.

“Selain itu, doktor juga perlu memastikan, ia tidak menjadi penyebab kerosakan dan penyakit lain yang mungkin timbul hasil dari perancangan yang tidak tepat dan rawatan yang tidak dijalankan dengan berhati-hati,”katanya.

Bagaimanapun, di sebalik warna ‘putih’ yang diidamkan, terdapat pelbagai rona atau warna dalam spektrum warna putih yang perlu diambil kira seperti putih kekuningan, kekelabuan, putih dengan rona kemerahan, kebiruan dan sebagainya.

Doktor perlu menyesuaikan warna gigi ini dengan kesesuaian warna kulit, umur dan latar belakang etnik pesakit agar hasil akhirnya kelihatan semulajadi. Begitu juga ilmu dan kefahaman yang mendalam terhadap tisu gigi, bentuk dan saiz gigi, bentuk rahang, harmoni kedudukan rahang atas dan bawah, harmoni antara bibir dan gigi amat diperlukan.

“Ini bagi memastikan senyuman yang terhasil tidak kelihatan janggal atau terlihat seperti ‘barisan gula-gula TicTac’ yang ditampal atas permukaan gigi. Tidak dinafikan antara kelebihan veneer sebagai pilihan rawatan mencantikkan gigi adalah hasil yang boleh didapati dalam masa singkat dibandingkan dengan rawatan penyusunan gigi oleh pendakap gigi.

“Berbanding rawatan korona gigi (tooth crown veneer) adalah pilihan yang lebih konvensional dan tidak memerlukan doktor untuk memotong struktur gigi dengan banyak seperti rawatan korona.

Dalam kes-kes tertentu, pemotongan mungkin tidak diperlukan langsung, terutamanya jika saiz gigi perlu dibesarkan,” katanya.

Namun begitu katanya, dalam banyak kes, pemotongan ke atas gigi masih juga diperlukan terutamanya jika pengecilan saiz, pembetulan kedudukan dan bentuk gigi diperlukan. Ini adalah antara kekurangan dalam rawatan veneer. Pembetulan kedudukan dan saiz yang terlalu besar berkemungkinan tidak dapat dicapai dengan hanya rawatan veneer.

Di sinilah peranan rawatan pergigian lain seperti pembetulan kedudukan menggunakan pendakap gigi menjadi penting dalam rawatan senyuman ini. Setiap disiplin kepakaran dalam dunia pergigian diperlukan demi menyela­matkan struktur gigi dari kerosakan yang ingin dielakkan.

Setiap gigi ada karakter tersendiri
Dr. Aini Hayati berkata, mentaliti masyarakat mengenai rawatan kecantikan gigi dan veneer mungkin perlu dibetulkan kerana gigi yang berwarna putih terang atau putih seramik dan berbentuk seperti susunan kotak bukan penentu senyuman yang cantik.

“Hakikatnya setiap individu perlu menyedari, setiap gigi datang dengan karakter tersendiri dan karakter yang unik inilah yang membuatkan seseorang individu itu unik dan cantik secara tersendiri. Doktor gigi pasti bersetuju dengan saya.

“Kadangkala kami didatangi pesakit yang ingin mengubah penampilan gigi mereka kepada penampilan ‘ideal’ seperti yang mereka lihat di kaca televisyen dan media sosial. Hasil pemeriksaan kami, gigi mereka mungkin sudah pun dalam kategori cantik mengikut karakter tersendiri dan tidak perlu diubah apa-apa,”katanya.

Doktor gigi, katanya, kebanyakannya lebih cenderung kepada pendekatan konservatif, lebih suka memelihara struktur gigi yang ada, menjaganya daripada sebarang penyakit dan tidak memulakan rawatan seperti veneer dan korona tanpa keperluan mendesak.

Katanya lagi, walaupun ‘kuasa’ mungkin ada di tangan doktor yang mampu membuat perubahan mengikut cita rasa mereka, namun harus diingat gigi yang sudah dipotong sekali-kali tidak akan tumbuh kembali. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×