Baru-baru ini tersebar berita mengenai murid sekolah yang dikatakan sesak nafas dan meninggal dunia. Hasil pemeriksaan mendapati kanak-kanak berkenaan sebenarnya tercekik ketika sedang makan. Amat menyedihkan apabila tiada sesiapa menyedari apa yang sedang dilaluinya menyebabkan kanak-kanak ini tidak dapat diselamatkan.
Hakikatnya orang ramai tidak perlu menjadi doktor untuk menyelamatkan nyawa individu yang mengalami kecemasan akibat tercekik.
Dengan latihan yang betul, se
siapa sahaja boleh mempelajari kemahiran asas untuk mengenal pasti kecemasan, memberikan pertolongan cemas dan menghubungi talian 999 dengan segera.
Pakar dan Pensyarah Perubatan Kecemasan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Dr. Aireen Zamhot berkata, semakin ramai yang mempunyai kemahiran ini, semakin tinggi peluang mangsa mendapat bantuan awal yang boleh menyelamatkan nyawa.
“Kecemasan seperti tercekik dan henti jantung boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, termasuk di rumah, sekolah dan tempat awam.
“Tercekik adalah keadaan apabila saluran pernafasan tersumbat oleh makanan atau objek asing sehingga menyebabkan kesukaran bernafas. Keadaan ini boleh menyebabkan kekurangan oksigen dan kematian jika tidak dirawat segera,” katanya.
Punca kematian akibat tercekik adalah disebabkan saluran pernafasan tersumbat sepenuhnya.
Keadaan ini menghalang udara masuk ke paru-paru dan boleh menyebabkan kekurangan oksigen, pengsan serta kematian dalam masa singkat.
“Tercekik boleh berlaku apabila makanan tidak dikunyah dengan sempurna, tertelan dalam saiz yang besar atau apabila objek kecil seperti mainan, syiling atau yang seumpama dengannya memasuki saluran pernafasan.
“Kanak-kanak lebih mudah tercekik kerana mereka cenderung memasukkan objek ke dalam mulut, manakala orang dewasa boleh tercekik akibat makanan atau masalah menelan,” katanya.
Tanda-tanda tercekik
Dr. Aireen berkata, tanda-tanda sedang tercekik dan mengalami kesukaran bernafas termasuk batuk secara tiba-tiba, sukar bernafas, tidak mampu bercakap dan memegang leher.
“Dalam keadaan serius, mangsa mungkin mengalami bibir atau kulit kebiruan akibat kekurangan oksigen, keliru atau pengsan.
“Jika tidak dapat bercakap, batuk atau bernafas, ini mungkin menandakan saluran pernafasan tersumbat sepenuhnya dan memerlukan bantuan kecemasan dengan segera.
“Tercekik ringan berlaku apabila saluran pernafasan tersumbat sebahagian tetapi pesakit masih boleh bernafas, bercakap dan batuk dengan kuat. Dalam keadaan ini, pesakit biasanya mampu mengeluarkan objek berkenaan melalui batuk,” katanya.
Mangsa tercekik ringan biasanya masih boleh bercakap dan batuk dengan kuat kerana saluran pernafasan masih terbuka sebahagian.
Dalam keadaan ini, galakkan mangsa untuk terus batuk sehingga objek yang menyumbat saluran pernafasan berjaya dikeluarkan.
Namun, jika mangsa langsung tidak dapat bercakap, batuk atau mengeluarkan suara, ini mungkin menandakan saluran pernafasan tersumbat sepenuhnya. Keadaan ini mengancam nyawa dan memerlukan bantuan kecemasan serta tindakan bantuan hayat asas (Basic Life Support) dengan segera.
Langkah-langkah pertolongan cemas
Berdasarkan garis panduan Pediatric Basic Life Support 2025 oleh American Heart Association (AHA) dan American Academy of Pediatrics (AAP), langkah pertolongan cemas bagi kanak-kanak yang tercekik adalah seperti berikut:
Tercekik ringan
Jika bayi atau kanak-kanak masih boleh batuk dengan berkesan, galakkan mereka untuk terus batuk bagi mengeluarkan objek yang menyumbat saluran pernafasan.
Pantau keadaan mereka untuk memastikan sumbatan tidak menjadi lebih teruk.
Tercekik teruk
Bayi berumur kurang daripada 1 tahun: Berikan 5 tepukan belakang, diikuti 5 tujahan dada. Ulangi sehingga objek keluar atau bayi tidak sedarkan diri.
Kanak-kanak berumur 1 tahun ke atas: Berikan 5 tepukan belakang, diikuti 5 tujahan abdomen. Ulangi sehingga objek keluar atau kanak-kanak tidak sedarkan diri.
Jika mangsa tidak sedarkan diri
Mulakan CPR dengan tekanan dada(30 tekanan dada) dan bantuan hembusan nafas (2 hembusan). Setiap kali membuka saluran pernafasan untuk memberikan bantuan pernafasan, periksa sama ada objek asing kelihatan dan keluarkannya jika boleh dicapai dengan selamat.
Jangan lakukan sapuan jari secara membuta tuli (blind finger sweep) kerana tindakan ini boleh menolak objek lebih jauh ke dalam saluran pernafasan.
“Tindakan pertama yang perlu dilakukan jika bayi atau kanak-kanak masih boleh batuk dengan berkesan, galakkan mereka untuk terus batuk bagi mengeluarkan objek yang menyumbat saluran pernafasan.
“Galakkan mereka untuk batuk dan pantau keadaan mereka untuk memastikan sumbatan tidak menjadi lebih teruk. Perkara yang sama perlu dilakukan untuk warga emas atau dewasa yang sedang tercekik,” katanya.
Langkah selamatkan bayi dan wanita hamil
“Sekiranya kanak kanak berumur bawah 1 tahun (bayi), tujahan abdomen tidak boleh dilakukan. Lakukan 5 tepukan belakang berselang-seli dengan 5 tujahan dada.
“Bagi wanita hamil atau mangsa bersaiz besar yang tidak dapat dipeluk di bahagian abdomen, gunakan tujahan dada sebagai ganti.
Talian kecemasan 999 perlu dihubungi dengan segera apabila mangsa menunjukkan tanda-tanda tercekik teruk, seperti tidak dapat bercakap, batuk atau bernafas dengan berkesan dan apabila mangsa dalam keadaan jantung dan pernafasan terhenti (cardiopulmonary arrest). Sementara menunggu bantuan kecemasan tiba, berikan Bantuan Hayat Asas (Basic Life Support) dan mulakan CPR dengan segera dan hubungi 999.
Jangan lakukan:
Memasukkan jari ke dalam mulut mangsa untuk mengeluarkan objek kerana tindakan ini boleh menolak objek lebih jauh ke dalam saluran pernafasan.
Jangan menepuk belakang mangsa ketika mangsa masih boleh batuk dengan kuat
Jangan memberikan air atau makanan kepada mangsa dengan harapan dapat menolak makanan yang tersekat masuk ke dalam perut. Tindakan ini tidak disarankan kerana boleh memburukkan sumbatan saluran pernafasan dan meningkatkan risiko aspirasi. – Mingguan Malaysia











