TUMPAT: Dua anak perempuan Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, yang dibunuh suaminya di Nilai, Negeri Sembilan, menangis sambil meronta-ronta dan enggan keluar dari bilik ketika jenazah ibu mereka tiba di rumah keluarga di Kampung Banjir, Pengkalan Kubor, di sini, awal pagi semalam.
Kedua-dua kanak-kanak itu, Nordianisa Sofia Mohd. Khairuddin, 6, dan adiknya, Noralisa Amara, 5, gagal dipujuk keluar dari bilik oleh ibu saudara mereka, Marliza Ibrahim, 48, yang menjaga mereka sejak kecil.
Jenazah pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) itu tiba kira-kira pukul 1 pagi untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Tanjong, Pengkalan Kubor.
Sementara itu, abang Allahyarham, Mohd. Hazwan, 38, berkata, keluarganya reda dengan pemergian Norhazwani, namun masih terkejut dan terkilan dengan kejadian yang menimpa adiknya.
“Saya reda dengan kejadian yang berlaku tetapi masih terkejut dan terkilan kerana arwah meninggalkan kami sekeluarga tidak sampai 12 jam selepas saya keluar dari rumahnya,” katanya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu menguruskan jenazah adiknya untuk dibawa pulang ke Kelantan, termasuk warga AKPS yang memudahkan urusan pengurusan jenazah ketika berada di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
Sebelum itu, lebih 100 ahli keluarga terdekat hadir pada majlis pengebumian Allahyarham yang selesai kira-kira pukul 2 pagi semalam. – UTUSAN








