Peruntukan untuk pesawah pergi ke mana?

Peruntukan untuk pesawah pergi ke mana?

SEORANG pesawah, Yusri Yusof berehat seketika sebelum meneruskan kerja-kerja membaik pulih tanah sebelum tanaman musim baharu di Kampung Alor Redis, Arau, Perlis baru-baru ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Biarpun peruntukan kerajaan untuk sektor hasil padi negara meningkat saban tahun termasuk sebanyak RM2.62 bilion untuk tahun hadapan namun nasib pesawah tidak pernah berubah.

Pesawah sebenarnya masih perlu menanggung sebahagian kos penanaman menggunakan wang mereka sendiri selain terpaksa berdepan pelbagai ma­salah lain.

Ia terutamanya melibatkan ke­lewatan bekalan baja, benih yang didakwa tidak berkualiti dan tunggakan insentif sehingga memberi impak teruk kepada pendapatan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, gambaran bahawa pe­tani menerima subsidi ber­nilai kira-kira RM4,300 sehektar ti­dak bermakna kerana jumlah itu tidak disalurkan terus kepada mereka dalam bentuk wang tunai.

Sebaliknya, peruntukan ber­ke­naan perlu merangkumi pelbagai bentuk bantuan termasuk subsidi baja, racun, benih dan insentif lain yang disalur kepada pembekal serta pihak dalam rantaian pelaksanaan.

“Kalau RM4,300 itu dapat ke­pada setiap petani, kami tidak tuntut apa-apa lagi. Tetapi bu­kan semua subsidi sebesar RM2.6 bilion masuk ke poket pe­tani.

Anggaran kami, hanya 30 peratus sampai kepada petani dalam bentuk input pertanian. Jadi, siapa yang mendapat baki 70 peratus itu?” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut beliau, subsidi benih sahaja dianggarkan berjumlah RM80 juta setahun manakala subsidi baja sekitar RM600 juta namun peruntukan besar itu masih belum menjamin kelancaran bekalan atau mutu input yang diterima pesawah.

Beliau turut mempersoal bagaimana masalah kelewatan bekalan baja dan benih yang didakwa tidak berkualiti masih berulang sedangkan kerajaan memperuntukkan jumlah be­sar bagi membantu sektor berkenaan.

“Jumlah itu memang besar, tetapi masalah baja lewat dan benih tidak berkualiti masih berlaku. Sebab itu, kita mahu kerajaan melihat semula keseluruhan pelaksanaan subsidi, bukan sekadar mengumumkan jumlah peruntukan,” katanya lagi.

Abdul Rashid berkata, tuntutan pesawah ketika ini turut tertumpu kepada harga padi yang perlu mengambil kira peningkatan kos pengeluaran, yang menurutnya sudah me­lebihi 50 peratus dan semakin sukar ditanggung.

Sementara itu, beliau men­dakwa beberapa insentif yang diumumkan kerajaan masih belum dibayar sepenuhnya termasuk Insentif Penuaian Padi (IPP) yang diperkenal ketika penyelarasan harga diesel pada 2024.

Katanya, kira-kira 200,000 pesawah masih belum menerima tunggakan bayaran berkenaan yang menyebabkan mereka terpaksa mendahulukan wang sendiri untuk menampung kos operasi sementara menunggu bantuan dijanjikan.

“Apabila insentif belum dibayar, pesawah tetap perlu keluarkan wang sendiri untuk usahakan sawah. Jadi, tidak tepat jika digambarkan seolah-olah semua masalah sudah selesai dan semua bayaran telah dijelaskan bila pengumuman dibuat,” katanya.

Tambah beliau, peruntukan besar sahaja tidak memadai sekiranya keberkesanan pelaksanaan, ketepatan masa pembayaran dan manfaat sebenar kepada pesawah tidak dapat dipastikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 baru-baru ini memaklumkan sebanyak RM2.62 bilion diperuntukkan bagi membantu golongan pesawah di negara ini menerusi pelbagai bentuk subsidi dan insentif,

Beliau berkata, bantuan berkenaan membolehkan pesawah menikmati sokongan sekitar RM4,300 bagi setiap hektar sawah meliputi subsidi benih, baja, racun, upah membajak serta jaminan harga padi.

Sementara itu, Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, sudah tiba masanya kerajaan melaksanakan audit menyeluruh terhadap peruntukan berkenaan merangkumi subsidi, projek, pembelian jentera, program baja, benih dan prestasi agensi pertanian.

Beliau berkata, jangan sekadar mengumumkan peruntukan berbilion ringgit setiap tahun tetapi nasib pesawah tidak pernah berubah selain hasil pengeluaran padi serta beras masih belum mencapai sasaran yang sepatutnya.

“Audit tersebut mesti me­ngenal pasti sama ada wang (peruntukan) benar-benar sam­pai kepada pesawah, digunakan mengikut tujuan dan menghasilkan pulangan yang setimpal.

“Jika terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembaziran, ketirisan atau kegagalan pelaksanaan, mereka mesti disiasat dan dipertanggungjawabkan berdasarkan bukti.

“Kerajaan tidak boleh terus menambah peruntukan tanpa menilai keberkesanannya.

“Kita mahu tahu punca sebenar, siapa yang bertanggungjawab dan apa tindakan pembetulan yang diambil. Jangan sampai pesawah terus menanggung beban, sedangkan keberkesanan perbelanjaan awam gagal dibuktikan,” katanya.

Mohd. Shazwan berkata, peruntukan besar setiap tahun membuktikan sektor padi dan beras antara komponen pen­ting yang terus diberikan perhatian demi memastikan ke­terjaminan makanan negara.

“Namun, kami berharap agar setiap peruntukan tersebut disalurkan secara telus, cekap dan tepat kepada golo­ngan sasar.

“Pada masa sama, penambahbaikan produktiviti, penggunaan teknologi, kualiti be­nih, sistem pengairan dan kecekapan pengurusan ladang perlu dilaksanakan secara berterusan.

“Peruntukan amat penting, tetapi peningkatan pendapatan pesawah juga perlu menjadi keutamaan,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini