Kembalikan kekayaan RM2 bilion industri padi kepada petani

Kembalikan kekayaan RM2 bilion industri padi kepada petani

PESAWAH merupakan golongan yang berdepan pelbagai kepayahan meskipun mereka tulang belakang kepada industri padi dan beras negara. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kekayaan industri padi yang mencecah RM2 bilion setahun di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang tidak dinikmati oleh para peladang dalam sektor itu perlu dikembalikan kepada mereka.

Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, hasil kekayaan itu selama ini hanya diraih pihak lain yang menguasai rantaian industri itu, sedangkan liku-liku kepayahan dalam mengerjakan sawah dilalui para petani.

Katanya, langkah penyelesaian jangka panjang perlu dilakukan segera agar para petani tidak lagi terbeban dengan hasil yang tidak setara, sekali gus mampu meningkatkan taraf hidup golongan itu di negara ini.

“Industri ini sejak dulu telah menyerahkan kekayaan kepada orang lain, kita ambil contoh hanya di kawasan MADA apabila kesemua hasil hiliran daripada padi jadi beras tidak lagi berada dalam kalangan peladang-peladang kita atau Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Jadi reformasi sistem yang menyeluruh perlu untuk pastikan kekayaan hampir RM2 bilion setahun dalam konteks MADA akan patah balik kepada peladang dengan cara PPK menguasai hiliran, menguasai kilang yang proses padi dan turut menguasai pemborong serta rantaian runcit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ismail berkata, semua pihak terutama yang terlibat dalam membuat polisi berkaitan industri padi dan beras negara perlu segera melaksanakan langkah-langkah ke arah bagaimana para peladang dapat menguasai sektor itu sehingga ke peringkat hiliran.

Katanya, kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) disaran melalukan proses reformasi berkenaan dalam tempoh tiga tahun ini bagi memastikan peladang mendapat manfaat tinggi bagi sektor itu.

“Sepanjang tiga tahun sebelum ini kita melihat isu harga lantai, harga benih, isu penyelarasan diesel dan sekarang isu kenaikan diesel disebabkan krisis. Jadi sebab itu untuk penyelesaian yang menyeluruh mesti berlaku reformasi menyeluruh dalam industri padi.

“Selain itu, sektor ini turut berdepan isu hasil yang tidak meningkat dalam masa agak lama. Jadi usaha untuk tingkatkan hasil padi yang tinggi perlu diberi perhatian, sebab ini asas yang akan memberi pulangan lebih kepada peladang kita,” katanya.

Katanya, industri padi yang memberikan pulangan setimpal kepada peladang akan mampu menarik minat petani muda untuk berkecimpung dalam sektor itu berbanding memilih sektor pekerjaan lain.

Sementara itu, ujar Ismail, MADA turut mencadangkan agar subsidi diesel melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) atau BUDI Agri-Komoditi turut menyenaraikan jentera pertanian sebagai penerima insentif bahan api itu.

“Cadangan kita agar selaras semula subsidi diesel yang diperolehi Agri-Komoditi, SKDS 1, 2, 2A, Sabah dan Sarawak serta nelayan supaya sebahagian subsidi itu diberi kepada pengusaha jentera pertanian.

“Saya difahamkan Kementerian Kewangan sedang melihat bagaimana fiskal negara untuk apabila krisis ini berlaku ia tidak memberi beban kepada negara dan pada masa sama pihak yang patut dapat subsidi seperti pengusaha jentera pertanian juga menerima manfaat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN