Pesawah harap manfaat benar-benar dinikmati

Pesawah harap manfaat benar-benar dinikmati

PESAWAH menyambut baik peruntukan sebanyak RM2.62 bilion bagi membantu golongan tersebut, namun berharap ia dapat memberi manfaat menyeluruh kepada pesawah. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Golongan pesawah menyambut baik peruntukan sebanyak RM2.62 bilion bagi membantu golongan tersebut namun berharap penyaluran bantuan berkenaan dapat memberi manfaat menyeluruh kepada mereka.

Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, peruntukan besar tersebut membuktikan sektor padi dan beras merupakan antara komponen penting yang perlu terus diberikan perhatian demi memastikan keterjaminan makanan negara terjamin.

Katanya, bantuan dengan anggaran sekitar RM4,300 bagi setiap hektar sawah meliputi subsidi benih, baja, racun, upah membajak dan sokongan harga padi itu diharap dapat meringankan beban pesawah yang terpaksa berdepan kos pengeluaran yang semakin tinggi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Terima kasih kepada kerajaan atas peruntukan bagi membantu pesawah di negara ini. Semoga manfaatnya benar-benar dirasai keseluruhan pesawah di negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 semalam mengumumkan peruntukan RM2.62 bilion dengan merangkumi bantuan setiap hektar sawah.

Pesawah akan menikmati sekitar RM4,300 meliputi antaranya seperti subsidi benih, baja, racun, upah bajak dan harga padi.

Kerajaan juga bersetuju meningkatkan kadar insentif penuaian padi daripada RM50 kepada RM100 perhektar untuk semusim selain kadar insentif pembajakan yang telah ditingkatkan kepada RM300 dikekalkan serta diperluaskan kepada pesawah di Sabah dan Sarawak.

Selain itu, bagi memulih dan menyuburkan semula tanah sawah, sebanyak RM20 juta disediakan untuk membekalkan baja foliar di lebih 10,000 hektar kawasan tanah sawah.

Sementara itu, Mohd. Shazwan berkata, kehidupan pesawah bukan sekadar bergantung kepada bantuan semusim sebaliknya mereka berdepan pelbagai cabaran termasuk kenaikan harga input pertanian, kos jentera, masalah pengairan, serangan penyakit dan perosak serta hasil tuaian yang tidak semestinya sepadan dengan kos dikeluarkan.

Katanya, bantuan sememangnya penting namun peningkatan pendapatan bersih pesawah juga perlu menjadi keutamaan.

“Kami berharap setiap peruntukan tersebut dapat disalurkan secara telus, cekap dan tepat kepada golongan sasar. Pada masa sama, penambahbaikan produktiviti, penggunaan teknologi, kualiti benih, sistem pengairan dan kecekapan pengurusan ladang perlu dilaksanakan secara berterusan.

“Jangan sekadar bantuan yang besar ini hanya dilihat pada angka peruntukan, sedangkan pesawah masih bergelut untuk menampung kos operasi dan menyara keluarga.

“Semoga peruntukan RM2.62 bilion ini benar-benar membawa manfaat kepada pesawah, memperkukuh industri padi dan membantu negara mencapai sasaran tahap sara diri (SSL) beras yang lebih tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini