PETALING JAYA: Pihak polis digesa menyiasat penganjuran majlis di Galeri Tuanku Jaafar sebelum ini, susulan timbul dakwaan seorang individu yang hadir menyamar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Gesaan itu dibuat Sekretariat Kesetiaan dan Sokongan kepada Tuanku Muhriz yang menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai penghinaan terhadap martabat serta kedaulatan institusi diraja negeri.
Pengerusi Sekretariat Taat Setia Sokongan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin dalam satu kenyataan berkata, majlis berkenaan tersebar secara meluas di media sosial sehingga menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, pihaknya meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat penganjur, individu yang terbabit serta penyebaran gambar dan video berkaitan majlis berkenaan.
“Pihak berkuasa perlu segera menyiasat penganjur, pihak yang terlibat, dan penyebaran video serta gambar majlis tersebut.
“Selain itu tindakan tegas perlu diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkenaan dan memastikan tiada lagi pihak yang berani mempergunakan nama dan imej Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir untuk apa-apa tujuan,” katanya hari ini
Sementara itu, Megat D. Shariman turut mendesak Barisan Nasional (BN) dan UMNO menjelaskan pendirian mereka berhubung kemelut institusi diraja yang masih berlarutan, termasuk sama ada mahu terus menyokong Tunku Nadzaruddin atau memberi tumpuan kepada pentadbiran negeri. – UTUSAN











