“ADALAH sangat penting untuk kita semua memiliki sifat belas kasihan terhadap haiwan sebegini dan menjadi tanggungjawab bersama memberi makan serta perlindungan, sama ada ketika dalam peliharaan ataupun apabila berada di dalam habitat sendiri.” – Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Apabila Kementerian Kewangan mengumumkan rangka kerja Belanjawan 2027, sebahagian besar tumpuan masyarakat menyasar kepada inisiatif digital dan kos sara hidup.
Namun, di celah-celah pengumuman pelepasan cukai gaya hidup, satu butiran kecil berjaya mencuri perhatian ramai, khususnya pencinta haiwan di seluruh negara.
Kerajaan kini merangka peluasan skop pelepasan cukai individu sehingga RM2,500 bagi merangkumi perbelanjaan penjagaan haiwan peliharaan.
Di bawah cadangan baharu ini, perbelanjaan seperti vaksinasi, rawatan pemandulan oleh klinik veterinar berdaftar, serta kos pengambilan haiwan angkat dari pusat perlindungan yang diiktiraf layak dipertimbangkan di bawah payung pelepasan cukai gaya hidup.
Langkah ini sudah pun saya bangkitkan sejak 2018 dan akhirnya melihatkan perubahan sosial rakyat, kini menjadi kenyataan.
Pelepasan cukai ini bukan sekadar soal angka ringgit dan sen dalam borang taksiran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Sebaliknya, ia adalah sebuah lembaran baharu dalam evolusi sosial Malaysia yang kini mengiktiraf kepentingan dan keutamaan yang diberikan kepada haiwan peliharaan dalam institusi keluarga moden.
Jika diamati senario antarabangsa, Malaysia sebenarnya mengambil langkah yang selari dengan beberapa negara maju di mana kesejahteraan haiwan disantuni kerajaan mereka menerusi instrumen fiskal.
Sebagai contoh, Itali sudah lama mendahului dalam hal pelepasan cukai perubatan haiwan dengan membenarkan rakyatnya menuntut potongan cukai pendapatan (sekitar 19 peratus) ke atas perbelanjaan kesihatan haiwan peliharaan yang melebihi jumlah tertentu.
Potongan cukai yang besar ini membuktikan komitmen negara terhadap aspek kesihatan binatang kesayangan.
Di Sepanyol, khususnya wilyah Andalusia dan Murcia telah memperkenalkan potongan cukai peratusan tertentu (seperti 30 peratus sehingga had €100 euro setahun) untuk kos veterinar termasuk vaksinasi dan pemasangan mikrocip.
Di Andalusia, tempoh pelepasan cukai bagi mereka yang mengambil haiwan dari pusat perlindungan lanjutan lebih lama berbanding pembelian biasa, bagi menggalakkan budaya pemeliharaan haiwan terbiar selain menyisihkan budaya pembelian haiwan peliharaan berdasarkan baka yang dikacuk khusus untuk dijual di kedai-kedai haiwan.
Sedangkan di Amerika Syarikat, meskipun perbelanjaan am haiwan peliharaan secara umumnya tidak layak mendapat potongan cukai, pembayar cukai di AS boleh menuntut pelepasan di bawah definisi undang-undang tertentu bila mana ia melibatkan perbelanjaan berkaitan pembelian, latihan, dan penjagaan veterinar bagi haiwan perkhidmatan perubatan yang bertauliah.
Bahkan kos penyelenggaraan dan veterinar buat haiwan yang digunakan untuk tujuan perniagaan (seperti anjing pengawal premis perniagaan atau haiwan pelakon) boleh menolak sebagai perbelanjaan perniagaan.
Dari sudut pandang dasar awam, ini adalah langkah proaktif serampang dua mata.
Pertama, ia meringankan beban kewangan pemilik haiwan yang saban hari berdepan peningkatan kos perubatan veterinar. Kedua, dan yang lebih penting, ia adalah insentif moral untuk menangani isu haiwan terbiar.
Dengan memberi penekanan kepada kos pemandulan dan pengambilan haiwan angkat, kerajaan secara tidak langsung menggalakkan kawalan populasi haiwan jalanan secara beretika sambil memupuk budaya ihsan dalam kalangan masyarakat.
Namun, sebagai pemerhati sosial yang realistik, kita harus melihat kekangannya.
Had siling pelepasan gaya hidup kekal pada takat RM2,500. Ini bermakna perbelanjaan haiwan peliharaan, langganan internet, pembelian alat peranti, serta perisian kecerdasan buatan (AI) yang turut disenaraikan perlu berkongsi di dalam satu bakul had yang sama.
Bagi isi keluarga yang sudah banyak menghabiskan kuota tersebut untuk bayaran bil internet dan peranti digital, ruang untuk menuntut pelepasan perubatan si comel dilihat agak terhad.
Cadangan di bawah Belanjawan 2027 ini juga mengambil kira perubahan sosial yang kian melihat masyarakat moden lebih memilih haiwan peliharaan sebagai peneman hidup berbanding kehidupan berkeluarga.
Sentimen ekonomi global yang semakin mendesak melihat bagaimana semakin ramai pasangan muda yang memilih untuk sama ada tidak melahirkan anak atau melambatkan keputusan untuk melahirkan anak.
Perubahan sosial ini bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi merupakan fenomena yang dirasai di seluruh dunia.
Langkah Belanjawan 2027 ini wajar dipuji kerana ia meletakkan Malaysia di landasan mentaliti masyarakat penyayang.
Tanggapan bahawa membela haiwan adalah satu bentuk kemewahan semata-mata mula terhakis, digantikan dengan kefahaman bahawa kesihatan haiwan berkait rapat dengan kesihatan awam dan kesejahteraan mental penjaga mereka.
Namun, apabila garis panduan rasmi dikeluarkan kelak, pihak berkuasa perlu memastikan proses dokumentasi oleh klinik veterinar dan pusat perlindungan tidak terlalu birokratik.
Biarlah niat murni kerajaan untuk memupuk rasa empati dalam hati rakyat dapat dinikmati semudah mengikat rasa kasih kita di sisi haiwan peliharaan tersayang. – UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.











