Kita boleh katakan hampir semua kerajaan bagi semua negara, yang maju dan kurang maju, mengalami defisit dalam kedudukan kewangan awam mereka. Soalnya sama ada defisit itu besar atau tidak sahaja. Defisit fiskal ini diertikan sebagai satu keadaan perbelanjaan kerajaan melebihi jumlah hasil dalam pengurusan kewangan awam sesuatu negara itu.
Yang jelas negara-negara yang mempunyai lebihan atau surplus, sangatlah sedikit angkanya, dan hampir kesemuanya adalah dari Scandinavia seperti Sweden dan Norway, serta Switzerland.
Maka tidak hairanlah Norway tidak pernah menggunakan hasil daripada industri minyaknya (bahan api dan gas) untuk perbelanjaan awam. Kesemua hasil itu dilaburkan untuk kepentingan cucu-cicit atau generasi masa hadapan mereka. Satu tanggungjawab inter-generasi yang ketara.
Sebaliknya pendapatan dari hasil minyak negara lain seperti Indonesia dan Asia Barat digunakan sepenuhnya untuk perbelanjaan.
Sama juga dengan kita di Malaysia, pendapatan Petronas diberikan kepada kerajaan sebagai dividen tahunan dan dibelanjakan oleh kerajaaan, khususnya untuk belanja mengurus dan mungkin sebahgian daripada perbelanjaan pembangunan.
Perbelanjaan mengurus kita terlalu besar hingga menelan hampir sepenuhnya hasil kerajaan yang berupa cukai, kutipan kastam dan sebagainya. Defisit yang wujud akibat perbelanjaan melebihi hasil menyebabkan kerajaan kita membuat pinjaman yang sejumlah besarnya daripada sumber tempatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Untungnya negara kita Malaysia ini mempunyai tahap tabungan dalaman (KDNK-Perbelanjaan Penggunaan) yang tinggi yang boleh menampung keperluan pinjaman kerajaan dan sektor swasta juga.
Dengan demikian hutang kerajaan atau hutang sektor awam sebahagian besarnya bersumberkan punca kewangan dalam negeri (domestic sources). Bermakna negara akan kurang terdedah kepada isu turun naik nilai matawang asing khususnya nilai matawang dolar Amerika Syarikat (AS).
Tabiat kebanyakan kerajaan adalah suka berbelanja besar khususnya belanja operasi atau belanja mengurus untuk menjadi popular. Di masa sama juga agak sukar untuk pihak pemerintah menaikkan cukai atau mengenakan cukai baharu kerana tindakan ini sangat tidak popular kepada masyarakat.
Disebabkan itu kebanyakan kerajaan mengalami double whammy, atas sebab perbelanjaan meningkat sedangkan sumber hasil bahru sukar dicari.
Di Malaysia, cukai barangan dan perkhidmatan atau GST yang diperkenalkan pada tahun 2015 dibubarkan pada tahun 2018, walaupun sistem cukai ini banyak diamalkan oleh negara-negara lain di dunia.
Ini membawa kita kepada isu dasar fiskal yang popular dalam kalangan negara Eropah dan dalam kalangan negara sedang membangun seperti Thailand, Indonesia dan Malaysia dan juga negara-negara di benua Afrika.
Pada dasarnya, defisit fiskal digalakkan semasa ekonomi sebuah negara sedang meleset atau recession. Sementara itu. lebihan fiskal pula digalakkan semasa ekonomi negara melambung atau mencapai fiskal berimbang iaitu` balanced budget’. Prinsip asas fiskal ini telah lama diabaikan oleh keseluruhan negara. Defisit fiskal sudah menjadi adat dan amalan biasa yang sukar di singkirkan.
Malaysia pernah mencapai balanced budget awal awal tahun 1990-an tetapi defisit muncul semula dan membesar selepas Covid- 19. Kini defisit fiskal sedang dikurangkan ke arah matlamat tiga peratus.
Yang meyakinkan hati kita adalah pengurusan kewangan awam kita masih lagi berprinsip. `Bukan sembarangan’. Matlamat kita adalah defisit itu di bawah tiga peratus dalam masa sederhana.
Kedua kita pastikan keseluruhan hasil kerajaan boleh menampung seluruh belanja mengurus.
Ketiga pinjaman Kerajaan hanya untuk keperluan belanja pembangunan yang akan meningkatkan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Keempat, sejumlah besar dari pinjaman ialah hutang dalam negeri (dalam ringgit) dan akhirnya, sejumlah besar dari hutang itu dibeli oleh agensi tempatan seperti KWSP, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Pertubuhan Keselamatan Sosial (SOCSO), dan institusi seperti bank tempatan.
Dasar fiskal kita pada masa ini merupakan satu dasar yang pragmatik, khususnya usaha menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan membantu mereka yang berpendapatan rendah dengan memberi bantuan seperti RAHMAH, subsidi minyak, bantuan persekolahan, bantuan untuk industri dan perniagaan kecil, dan sebagainya.
Semua bantuan ini disalurkan kerana masih banyak keluarga menerima pendapatan yang masih belum di tahap upah yang memncukupi atau apa yang disebut sebagai the living wage oleh Bank Negara.
Dalam pengurusan hutang sektor awam juga, negara telah menetapkan tahap hutang Kerajaan supaya tidak melangkaui paras 65 peratus dari jumlah KDNK.
Ini mengawal kerajaan daripada terdedah kepada risiko hutang yang besar. Pengurusan hutang menjadi sukar apabila berlaku krisis ekonomi dalam scenario jumlah hutang yang besar.
Kerajaan juga telah mewujudkan akta tanggung jawab fiskal pada tahun 2024 untuk mengurus kewangan awam secara berhemah dan bertanggungjawab khususnya dalam bidang perbelanjaan dan pengurusan hutang Kerajaan.
Ini untuk mengelakkan kemungkinan fiscal non-sustainability’dan menjadi kemudaratan kepada pertumbuhan ekonomi keseluruhannya.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa peminjaman oleh Kerajaan tidak menyebabkan inflasi kerana ia tidak melibatkan percetakan wang atau printing of money atau apa yang disebut sebagai Quantitative Easing di AS.
Ini disebabkan oleh cara peminjaman kita adalah dari melalui institusi simpanan atau tabungan, seperti KWSP, KWAP, dan Perkeso, di mana ia tidak melibatkan bekalan wang baru atau ‘new money supply’.
Ini bermakna walaupun dasar kewangan awam kita mengalami defisit dan jumlah pinjaman juga agak besar, langkah-langkah perlu telah diambil agar kedudukan kewangan awam masih terkawal dan boleh dikawal.
Kita terus mengambil langkah tegas untuk mengawal defisit dan menggunakan pinjaman kita untuk tujuan pembangunan yang boleh meningkatkan perkembangan ekonomi dan seterusnya membantu rakyat biasa mengatasi tekanan dari kos hidup yang tinggi.
Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob ialah Pengarah Eksekutif MIER.











