PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia terus memperkukuh hubungan strategik dengan pengamal media bagi memperluas penyampaian maklumat berkaitan inisiatif tenaga lestari negara khususnya pembangunan Tenaga Boleh Baharu (TBB) kepada masyarakat.
Usaha itu antara lain dilaksanakan menerusi Program Jalinan Mesra Boling SEDA Malaysia bersama Kelab Media Putrajaya (KMP) yang dianjurkan buat julung kali dengan menghimpunkan warga agensi berkenaan daripada pelbagai peringkat bersama pengamal media.
SEDA Malaysia dalam kenyataannya berkata, kerjasama erat dengan media penting dalam memastikan maklumat berkaitan inisiatif, perkembangan serta latihan teras yang dilaksanakan agensi itu dapat disebarluaskan kepada masyarakat secara lebih meluas.
Menurutnya, program berkenaan turut menjadi tanda penghargaan kepada media tempatan yang sentiasa memberikan sokongan berterusan serta memainkan peranan penting dalam penyebaran berita yang pantas dan boleh dipercayai menerusi platform media tradisional dan digital.
“Melalui program ini, SEDA Malaysia berharap hubungan yang terjalin dengan KMP dapat terus diperkukuh, sekali gus menyokong usaha memperluas penyampaian maklumat dalam bidang Tenaga Boleh Baharu,” menurut kenyataan itu.
Program itu dirasmikan Ketua Pegawai Operasi SEDA Malaysia, Koh Keng Sen dan turut dihadiri Presiden KMP, Buqhairah Tuan Muhamad Adnan.
SEDA Malaysia turut berharap kesedaran masyarakat mengenai inisiatif serta perkembangan sektor tenaga lestari di Malaysia dapat terus dipertingkatkan menerusi jalinan kerjasama berkenaan.
SEDA Malaysia ialah badan berkanun persekutuan yang beroperasi di bawah seliaan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang berperanan menguruskan pelbagai inisiatif nasional seperti program kecekapan tenaga dan TBB.











