Ayam disembelih guna arus elektrik untuk pasaran Lembah Klang

Ayam disembelih guna arus elektrik untuk pasaran Lembah Klang

KAEDAH water bath stunning atau kejutan rendaman air berarus elektrik yang digunakan dipercayai memproses kira-kira 40,000 ekor ayam sehari. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Sebuah kilang penyembelihan ayam di Puchong didakwa menggunakan kaedah water bath stunning atau kejutan rendaman air berarus elektrik dipercayai memproses kira-kira 40,000 ekor ayam sehari.

Ayam yang dikenakan renjatan elektrik berkuasa 130 volt itu kemudian diproses sebelum diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang termasuk kepada pengusaha restoran, pasar raya dan kedai runcit.

Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, hasil maklumat yang diperoleh kilang itu melaksanakan proses penyembelihan dan pemprosesan ayam yang tidak mematuhi syarat halal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pasaran bagi ayam-ayam ini meliputi kawasan sekitar Putrajaya, Cyberjaya, Damansara, Puchong, Cheras dan Bangi,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di sini hari ini.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat proses pengendalian dan penyembelihan ayam yang menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak serta status halal produk berkenaan.

Jelasnya, perkara itu amat membimbangkan kerana kaedah penyembelihan merupakan antara aspek utama yang menentukan status halal sesuatu produk ayam.

“Proses yang menyebabkan ayam mati sebelum disembelih menimbulkan persoalan serius dari segi pematuhan hukum syarak dan syarat pensijilan halal,” jelasnya.

Tambah beliau, premis berkenaan dipercayai telah beroperasi lebih 10 tahun malah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga difahamkan telah beberapa kali melakukan pemeriksaan serta mengeluarkan teguran kepada pihak pengurusan kilang.

“Bagaimanapun, kilang berkenaan masih gagal mematuhi teguran yang diberikan khususnya berkaitan prosedur pengendalian dan penyembelihan ayam yang ditetapkan,” ujarnya.

Susulan daripada itu, kata beliau, pemilik premis perniagaan yang merupakan warga tempatan berusia 30-an telah ditahan bagi diambil keterangan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). 

Jelasnya, turut ditahan iaitu 12 lelaki warga asing yang bekerja di kilang itu.

“Pekerja di premis berkenaan merupakan individu pendatang asing tanpa izin (PATI) dipercayai tidak memiliki sebarang sijil perakuan bagi menyembelih haiwan,”katanya. 

Kelmarin, polis membongkar kegiatan penyembelihan ayam tanpa sijil halal sah selepas 6,555 kilogram (kg) ayam mentah yang dianggarkan bernilai RM85,400 dirampas.

Serbuan menerusi Op Taring Chiller kira-kira pukul 12.40 tengah malam turut dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), JAIS, Jakim, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor serta Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

Siasatan awal mendapati premis berkenaan dipercayai telah menjalankan kegiatan itu untuk tempoh yang panjang dengan bekalan ayam diperoleh daripada beberapa ladang sekitar Sungai Sepat, Sungai Pelek dan Sepang.

Susulan itu, JAIS mengambil tindakan mengikut Seksyen 3(1)(a) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Selain JAS Selangor turut mengeluarkan notis penahanan kelengkapan operasi mengikut Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 manakala Pejabat Kesihatan Daerah Petaling mengeluarkan notis pembersihan susulan ketidakpatuhan aspek kebersihan dan pengendalian makanan.

Tindakan turut diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini