DUN Kelantan: Desa Takwa diperkasa tangani masalah dadah

DUN Kelantan: Desa Takwa diperkasa tangani masalah dadah

MOHAMED Fadzli Hassan semasa persidangan DUN Kelantan di Kota Bharu, Kelantan. - IHSAN PEJABAT DUN KELANTAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memperkasak semula program Desa Takwa dengan memberi tumpuan kepada lima teras pembangunan komuniti sebagai antara usaha menangani masalah sosial termasuk penyalahgunaan dadah yang terus menjadi perhatian di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha membendung masalah dadah bukan hanya tanggungjawab kerajaan negeri sebaliknya memerlukan kerjasama masyarakat, ibu bapa serta agensi Kerajaan Persekutuan.

Katanya, isu penyalahgunaan dadah di Kelantan bukan perkara baharu malah sudah dibangkitkan sejak zaman bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat khususnya membabitkan penyalahgunaan pil kuda.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pil kuda memang tertinggi di Kelanta  tetapi dadah ini banyak jenisnya dan cara penggunaannya. Kalau pil kuda digunakan di Kelantan, ada beberapa jenis dadah yang tinggi di negeri-negeri lain mengikut cara penggunaan.

“Contohnya, di Kuala Lumpur yang mana anak-anak muda terlibat dengan disko dan sebagainya pada waktu malam, mereka menggunakan ekstasi,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim (BN-Galas) semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mohamed Fadzli berkata, Kelantan sebagai negeri yang bersempadan dengan negara jiran turut berdepan cabaran penyeludupan serta kemasukan pelbagai perkara termasuk unsur yang boleh membawa kemudaratan kepada masyarakat.

Katanya, kedudukan strategik negeri ini memberi manfaat dari segi hubungan rentas sempadan namun pada masa sama turut mendedahkan Kelantan kepada pengaruh negatif.

“Antara masalah negeri sempadan inilah banyak benda-benda yang baik yang dibawa, kita dapat manfaatnya. Begitu juga ada juga benda-benda yang tidak baik, kita juga dapat mudaratnya.

“Kadangkala orang hendak bawa ke tempat lain, tetapi oleh kerana melalui negeri kita dan ditangkap di tempat kita, maka yang timbulnya Kelantan. Namun, itu tidak bermakna sedemikian dan kita bukan bermaksud tidak mahu bertanggungjawab kerana ia perlu melibatkan agensi Persekutuan,” ujarnya.

Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri telah mengaktifkan semula program Desa Takwa menerusi pemilihan 10 buah kampung yang akan dibangunkan mengikut garis panduan berasaskan lima teras utama.

Katanya, ia merangkumi agama, sosial, pendidikan, ekonomi dan prasarana, dengan penekanan terhadap kerjasama pelbagai agensi, pembangunan aktiviti ekonomi dan keusahawanan penduduk serta peningkatan kemudahan asas.

Ujarnya, program itu turut memberi tumpuan kepada pembinaan modal insan yang berteraskan nilai iman dan takwa. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini