Parti Likud salahkan Ben-Gvir punca kebangkitan pengundi Arab

Parti Likud salahkan Ben-Gvir punca kebangkitan pengundi Arab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir menjejaskan kedudukan blok Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu apabila tindakannya mendorong lebih ramai pengundi Arab keluar mengundi, kata seorang pegawai parti Likud dalam kenyataan yang dilaporkan The Jerusalem Post pada Sabtu.

Anggota Jawatankuasa Pusat Likud, Shimon Boker berkata, menteri berhaluan kanan itu menjejaskan blok berkenaan dan membantu parti-parti Arab memperoleh lebih banyak kerusi menerusi provokasi yang dilakukannya berulang kali.

Laporan itu menyatakan kadar keluar mengundi di Rahat, bandar terbesar masyarakat Badwi di Israel, mencecah hampir 80 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang aktivis veteran Likud yang hanya dikenali sebagai Rami yang memantau proses pengundian di Rahat berkata, penduduk menunjukkan kemarahan meluas terhadap Ben-Gvir sehingga mendorong mereka mengundi menentang kem Netanyahu.

Lapor Anadolu, Datuk Bandar Rahat, Talal al-Krenawi, menyambut baik kadar keluar mengundi itu sebagai bukti kekuatan masyarakat berkenaan.

Penduduk pula menyatakan tindakan merobohkan rumah dan kenyataan Ben-Gvir sebagai antara sebab mereka keluar mengundi.

Bagaimanapun, seorang aktivis daripada parti Otzma Yehudit pimpinan Ben-Gvir menolak kritikan itu dengan alasan menteri berkenaan tidak sepatutnya dipersalahkan atas keputusan rakyat Arab menggunakan hak mereka untuk mengundi.

Keputusan pengiraan undi menunjukkan blok Netanyahu memperoleh 53 kerusi, berbanding 48 kerusi bagi blok pembangkang pimpinan Gadi Eisenkot, manakala parti-parti Arab mencatatkan rekod 19 kerusi.

Kedua-dua blok utama gagal memperoleh 61 kerusi yang diperlukan untuk membentuk majoriti dalam Knesset yang mempunyai 120 kerusi.

Joint List memperoleh 11 kerusi, manakala Senarai Arab Bersatu (Ra’am) mendapat lapan kerusi.

Keputusan pilihan raya itu dijangka dikemukakan kepada Presiden, Isaac Herzog pada 4 November selepas proses pengesahan selesai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini