Penunjuk perasaan di Israel desak kerajaan baharu libatkan parti Arab

Penunjuk perasaan di Israel desak kerajaan baharu libatkan parti Arab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Penunjuk perasaan berhimpun di beberapa bandar di Israel pada malam Sabtu bagi mendesak pembentukan kerajaan baharu yang turut melibatkan parti-parti Arab yang mewakili masyarakat Palestin di Israel, manakala aktivis sayap kanan mengadakan demonstrasi balas bagi membantah penyertaan parti berkenaan serta menuntut pilihan raya baharu.

Akhbar harian Israel, Haaretz melaporkan, ribuan orang berhimpun di Dataran Habima, tengah Tel Aviv, bagi mendesak pembentukan kerajaan melalui kerjasama dengan Joint List dan Ra’am, iaitu Senarai Arab Bersatu.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk dengan slogan termasuk ‘Melalui kerjasama dan kesamarataan, kita mengubah kerajaan’ dan ‘Rakyat telah memberikan sokongan kepada anda, bentuk kerajaan sekarang’, sebelum berarak menuju ke Dataran Rabin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Haaretz melaporkan demonstrasi serupa turut berlangsung di beberapa lokasi lain, termasuk Dataran Paris di Baitulmuqaddis yang menyaksikan ratusan orang berhimpun, serta dataran auditorium di Haifa.

Puluhan orang turut mengadakan demonstrasi di Beersheba, manakala satu lagi perhimpunan berlangsung di persimpangan Ras Amer berhampiran Tira dan Tayibe.

Gambar yang diterbitkan akhbar itu menunjukkan penunjuk perasaan di Haifa dan Tel Aviv membawa sepanduk tertera angka 67 dan 53, yang menggambarkan kedudukan kerusi di Parlimen Israel susulan pilihan raya pada Selasa.

Parti-parti yang menentang Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memperoleh keseluruhan 67 daripada 120 kerusi Knesset, termasuk 48 kerusi yang dimenangi parti-parti Yahudi dalam blok perubahan kerajaan dan 19 kerusi parti Arab. Sementara itu, blok Netanyahu memperoleh 53 kerusi.

Dalam perkembangan sama, ratusan aktivis sayap kanan mengadakan demonstrasi di Dataran Habima bagi membantah kerjasama dengan parti-parti Arab, menurut Haaretz.

Mereka melaungkan slogan termasuk ‘Bibi ialah raja Israel’, merujuk kepada Netanyahu, ‘Rakyat mahukan pilihan raya yang berintegriti’ dan ‘Rakyat menuntut pilihan raya baharu’.

Polis menetapkan kawasan berasingan bagi demonstrasi kumpulan sayap kanan itu. Bagaimanapun, puluhan aktivis tiba lebih awal dan memasuki kawasan yang diperuntukkan untuk perhimpunan menyokong kerjasama Israel-Arab, lapor akhbar itu.

Menurut The Times of Israel, meskipun mempunyai majoriti gabungan di Parlimen, kebanyakan parti pimpinan Israel yang menentang Netanyahu menolak pembentukan gabungan kerajaan bersama parti-parti Arab.

Keadaan itu menyebabkan parti-parti Yahudi dalam blok perubahan hanya mempunyai 48 kerusi, iaitu lima kerusi kurang berbanding blok Netanyahu dan tidak mencukupi untuk memperoleh majoriti mudah 61 kerusi.

Akhbar itu melaporkan, Netanyahu mahupun pesaingnya daripada parti-parti Zionis tidak dapat memperoleh majoriti bagi membentuk kerajaan tanpa sokongan parti Arab atau tindakan beberapa anggota blok perubahan berpaling tadah.

Ra’am menyatakan hasrat untuk menyertai kerajaan, manakala pemimpin Joint List, Yousef Jabareen berkata, partinya bersedia membuka jalan bagi menyingkirkan kerajaan Netanyahu, lapor Haaretz.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini