Wujudkan portal tiket berpusat sebelum laksana dasar baharu

Wujudkan portal tiket berpusat sebelum laksana dasar baharu

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Portal Penjualan Tiket Bas Ekspres Berpusat Peringkat Nasional perlu dipastikan beroperasi sepenuhnya sebelum dasar pemberian hak mutlak penjualan tiket kepada terminal dikuatkuasakan.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Malaysia (PBEM), Mohamad Nazri Md. Yusof berkata, langkah itu penting bagi memastikan kemudahan pembelian tiket menerusi platform Online Travel Agent (OTA) tidak terjejas khususnya bagi perjalanan melibatkan beberapa terminal yang menggunakan sistem pengurusan berbeza.

Katanya, pelaksanaan dasar berkenaan tanpa penyelarasan sistem penjualan tiket berisiko menyukarkan pengguna yang perlu mendapatkan perkhidmatan bas ekspres daripada terminal berlainan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada masa ini, platform OTA membolehkan pengguna membuat carian, perbandingan jadual perjalanan dan pembelian tiket bas ekspres daripada pelbagai pengendali serta terminal melalui satu portal bersepadu.

“Sebaliknya, pelaksanaan dasar pemberian hak mutlak penjualan tiket kepada terminal yang dikendalikan oleh syarikat pengurusan berbeza berpotensi menyebabkan pengguna terpaksa mengakses portal penjualan tiket yang berlainan bagi setiap terminal untuk mendapatkan perkhidmatan bas ekspres,” katanya dalam kenyataan hari ini ini.

Mohamad Nazri berkata, keadaan itu dijangka lebih menyulitkan pengguna sekiranya melibatkan terminal yang belum mempunyai Sistem Tiket Berpusat (CTS) serta terminal di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang masih belum dilesenkan.

Sehubungan itu, beliau menggesa MOT segera campur tangan dengan menangguhkan sebarang larangan atau sekatan penjualan tiket menerusi platform OTA sehingga semua terminal mempunyai tahap kesiapsiagaan sistem dan operasi yang memuaskan.

“Pengendali bas ekspres turut berdepan kemerosotan jualan tiket antara 30 hingga 50 peratus sejak dasar berkenaan diumumkan pada 20 Oktober lalu.

“PBEM pada dasarnya menyokong usaha mempertingkat kecekapan pengurusan terminal dan kualiti perkhidmatan, namun pelaksanaan dasar itu perlu mengambil kira kesiapsiagaan sistem, kejelasan peraturan serta kepentingan pengendali dan pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Nazri turut meminta APAD meneliti asas perundangan bagi sebarang cadangan caj komersial baharu oleh pengurusan terminal termasuk caj yang dikenakan terhadap penjualan tiket melalui platform OTA.

“Sebarang caj tambahan perlu mematuhi Seksyen 6(5)(d) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat menetapkan syarat lesen berkaitan fi maksimum penggunaan terminal,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa MOT menyediakan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang seragam, selain menilai tahap kesiapsiagaan setiap terminal serta mewujudkan mekanisme rundingan dan pemantauan bersama penggiat industri.

PBEM turut meminta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menilai implikasi dasar pemberian hak mutlak penjualan tiket kepada terminal terhadap persaingan pasaran khususnya risiko penyalahgunaan kedudukan dominan, pengenaan caj tidak adil dan sekatan akses pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini