Pemandu bas ekspres video tular, kena penjara tujuh bulan, denda RM8,000

Pemandu bas ekspres video tular, kena penjara tujuh bulan, denda RM8,000

Mohd. Tamrin Ibrahim diiringi polis dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang pemandu bas ekspres yang videonya tular memandu secara berbahaya sehingga mengancam keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd. Tamrin Ibrahim, 53, dari Seremban, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu bas bernombor pendaftaran BSB4999 didakwa memandu kenderaan tersebut dengan cara berbahaya kepada orang awam pada 15 April 2026 kira-kira pukul 3.50 pagi di Kilometer 196.1 (arah selatan) Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran persimpangan Ayer Keroh, dalam daerah Alor Gajah, Melaka.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000.

Selain itu, sabitan di bawah seksyen tersebut lesen memandu pesalah, dan jika didapati bersalah, tertuduh boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.

Majistret juga turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin, dalam hujahnya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh selain memberi peringatan kepada pemandu lain agar tidak memandang ringan aspek keselamatan di jalan raya.

Sementara peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Kamariah Md Yusof memohon hukuman minimun dikenakan memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan dan masalah penyakit asma. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN