PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan ke atas pemandu bas yang tular meriba wanita ketika memandu.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dan mengenal pasti pemandu terbabit.
Beliau berkata, syarikat bas berkenaan telah diarah untuk membawa pemandu berkenaan ke pejabat JPJ berhampiran hari ini untuk tindakan lanjut.
Katanya, JPJ sama sekali tidak akan berkompromi dengan tindakan mana-mana pemandu bas yang didapati melakukan kesalahan jalan raya hingga boleh membahayakan nyawa orang lain terutama penumpang.
“Pemandu bas diingatkan supaya sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya ketika memandu dan mengelak sebarang elemen yang boleh mengganggu (pemanduan) seperti penggunaan telefon bimbit atau perbuatan lain yang boleh menjejaskan keselamatan.
“Pengusaha bas juga perlu memastikan pemilihan pemandu yang kompeten dan berwibawa kerana kesilapan dalam memilih pemandu boleh mengundang risiko serta memudaratkan penumpang. Selain itu, kamera litar tertutup (CCTV) wajar dipasang dalam bas bagi memantau kelakuan pemandu serta penumpang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Muhammad berkata, orang awam juga turut berperanan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat serta laporan berkaitan kesalahan dilakukan pemandu.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang pemandu bas memandu dalam keadaan tidak wajar dengan meriba seorang wanita.
Dalam rakaman video lain turut memaparkan sebuah bas, dipercayai bas sama, dipandu secara tidak berhemah.
Kejadian itu mengundang kemarahan dan kebimbangan warganet yang meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kerana ia membabitkan keselamatan penumpang. – UTUSAN










