PETALING JAYA: Pelaksanaan dasar penjualan tiket bas ekspres melalui terminal berlesen mulai 1 November ini dijangka menjadikan urusan jualan tiket lebih telus dan teratur.
Ketua Pegawai Eksekutif Terminal Bersepadu Gombak Sdn. Bhd. (TEGAS), Datuk Seri Mohd. Nadzlim Mohd. Noor berkata, pelaksanaan dasar menerusi Sistem Tiket Bersepadu (CTS) itu berpotensi memperkemas penyelarasan penjualan tiket antara terminal dengan pengendali bas ekspres.
Katanya, sistem berkenaan juga berpotensi memperkukuh pemantauan transaksi serta meningkatkan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.
“TEGAS selaku pengendali Terminal Bersepadu Gombak (TBG) menyokong dasar penjualan tiket bas ekspres melalui terminal yang dilesenkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Dasar ini penting dalam memperkukuh peranan terminal bas ekspres sebagai pusat utama bagi pengurusan operasi, pelepasan bas dan urusan penjualan tiket,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Nadzlim berkata, peranan dan tanggungjawab pihak terminal yang lebih jelas membolehkan perkhidmatan bas ekspres diurus dengan lebih teratur serta berstruktur.
“TEGAS bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Malaysia, APAD, pengendali bas ekspres dan pihak berkaitan bagi menyokong pelaksanaan dasar ini secara teratur dan berkesan,” katanya. – UTUSAN











