PETALING JAYA: Kerajaan akan memantau caj dan komisen penjualan tiket bas ekspres melalui terminal yang akan dilaksanakan pada 1 November nanti.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan turut memberi jaminan kadar komisen yang dikutip terminal tidak melebihi komisen ejen penjualan tiket dalam talian (OTA) yang kebanyakannya beroperasi di luar negara.
Katanya, pendekatan tersebut mewujudkan situasi menang-menang antara terminal dan syarikat bas selain memberi kemudahan kepada penumpang.
“OTA menerima komisen daripada penjualan tiket, sedangkan terminal menyediakan prasarana, kemudahan dan menanggung kos operasi bagi memastikan kelancaran perkhidmatan. Pada masa yang sama, terminal perlu mempunyai model penjanaan pendapatan bagi menampung kos berkenaan.
“Sehubungan itu, kita berpandangan bahawa satu model perniagaan yang lebih sesuai perlu diwujudkan iaitu model yang membolehkan terminal turut menerima pulangan daripada urus niaga penjualan tiket serta mempunyai sumber kewangan untuk penyelenggara prasarana dan kemudahan yang disediakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN- Pasir Puteh) berhubung penjualan tiket menerusi terminal.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali dilaporkan berkata, ketetapan itu mengejutkan pengusaha bas dan ejen penjualan tiket di seluruh negara.
Beliau dipetik berkata, pihaknya hanya menerima makluman berhubung perkara itu melalui surat daripada agensi berkenaan, namun mendakwa tiada sebarang rundingan atau perbincangan dilakukan bersama persatuan pengusaha bas.
Dalam pada itu, Siew Fook berkata, model penjualan tiket menerusi terminal juga tidak memberikan sebarang masalah dan kerugian kepada syarikat bas kerana urus niaga penjualan tiket masih boleh diteruskan melalui platform syarikat dalam talian.
Katanya, bagi syarikat bas yang telah mempunyai laman web sendiri, integrasi sistem juga boleh dilaksanakan supaya penjualan tiket dapat diteruskan secara dalam talian tanpa perlu bergantung sepenuhnya pada kaunter fizikal terminal. –UTUSAN











