Video tular pemandu bas ekspres pandu sebelah tangan disiasat

Video tular pemandu bas ekspres pandu sebelah tangan disiasat

AEDY Fadly Ramli (tengah) ketika ditemui pemberita dalam sidang akhbar di George Town, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyemak satu video tular yang memaparkan pemandu bas ekspres disyaki memandu dalam keadaan berbahaya, sebelum tindakan lanjut diambil bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya perlu meneliti terlebih dahulu kesahihan video tular berkenaan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Yang ini saya kena semak dahulu. Selalunya kalau ada isu-isu seperti ini, kita akan jalankan siasatan bersama dengan pihak polis,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sebelum ini, polis sedang mengesan seorang pemandu bas ekspres dipercayai memandu dalam keadaan berbahaya iaitu duduk menyandar sambil memandu dengan menggunakan sebelah tangan sahaja pada waktu malam seperti yang tular dalam media sosial, semalam.

Insiden terbaharu itu hadir hanya sehari selepas satu kes lain melibatkan pemandu bas yang didakwa berkelakuan tidak wajar sehingga mencetuskan kemarahan netizen, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pemandu kenderaan berat.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, terdapat kes tertentu yang akan diambil alih oleh PDRM khususnya jika melibatkan elemen jenayah atau kesalahan di bawah bidang kuasa polis.

“Kes-kes yang melibatkan elemen jenayah atau kemalangan, kebiasaannya akan dikendalikan oleh pihak PDRM terlebih dahulu,” katanya yang memberitahu, JPJ pula akan memberi tumpuan kepada kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) yang tidak melibatkan unsur jenayah.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, terdapat persefahaman antara JPJ dan PDRM dalam menentukan bidang kuasa siasatan bagi setiap kes yang dilaporkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN