KUALA LUMPUR: Pelakon, Idan Aedan, mendedahkan pernah menolak tawaran membintangi sebuah naskhah tempatan yang memerlukannya menjalin hubungan cinta dengan adik-beradik sendiri.
Menurut Idan, walaupun tawaran itu diberikan secara terus tanpa perlu melalui proses uji bakat, dia berpegang teguh pada prinsip untuk tidak menerima watak yang disifatkan boleh memberikan impak negatif kepada penonton.
“Ada satu ketika, pihak produksi datang terus kepada saya tanpa perlu melalui proses uji bakat. Watak yang ditawarkan itu memerlukan saya bercinta dengan adik-beradik sendiri.
“Apabila mengetahui plot cerita sebegitu, saya merasakan ia tidak kena dengan prinsip saya.
“Jika saya merasakan sesuatu watak itu boleh memberikan kesan tidak baik kepada penonton, saya akan menolaknya. Itu kriteria utama saya sebelum menerima sebarang tawaran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, mengulas persepsi yang melabelkannya sebagai pelakon filem art house, Idan mengakui tidak pernah terlalu memikirkan tanggapan sedemikian.
Sebaliknya, dia berpendapat pembahagian antara filem komersial dengan art house di Malaysia adakalanya dilihat terlalu ekstrem sehingga mewujudkan persepsi negatif terhadap kedua-dua kategori karya berkenaan.
“Bagi saya, pembahagian antara art house dengan komersial ini adakalanya keterlaluan. Ia tidak sepatutnya menjadi sesuatu yang negatif kerana naskhah komersial juga boleh menjadi karya seni yang baik, begitu juga sebaliknya.
“Saya tidak kisah jika orang melabelkan saya sebagai pelakon art house. Saya hanya mengikut ke mana hala tuju sesebuah projek itu membawa saya.
“Asalkan saya dapat memberikan kejujuran sepenuhnya dalam lakonan dan memenuhi kehendak pengarah, saya sudah cukup gembira,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai kecenderungan segelintir pelakon lelaki seusianya membina susuk tubuh sasa, Idan sebaliknya lebih mengutamakan aspek kesihatan dan kecergasan fizikal.
Baginya, kecergasan bukan sekadar untuk mendapatkan penampilan menarik, sebaliknya menjadi antara elemen penting dalam memastikan seseorang pelakon mampu menyampaikan dialog serta menzahirkan emosi dengan berkesan.
“Tugas saya adalah untuk menjadi pelakon versatil. Saya tidak mahu hanya terikat dengan satu jenis watak sahaja.
“Fokus saya adalah terhadap kesihatan dan kecergasan fizikal kerana kedua-duanya menjadi antara keperluan utama seorang pelakon untuk melontarkan dialog serta menyampaikan emosi dengan berkesan,” katanya. -UTUSAN











