Belanjawan Pulau Pinang 2027 catat defisit terendah dalam sejarah - Utusan Malaysia

Belanjawan Pulau Pinang 2027 catat defisit terendah dalam sejarah

CHOW Kon Yeow (kanan) menerima buku laporan Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2027 daripada Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zairi Mat Ali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencatatkan unjuran defisit terendah dalam sejarah belanjawan negeri apabila menganggarkan defisit bagi 2027 adalah berjumlah RM5.62 juta berbanding defisit sebanyak RM19.92 juta pada tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Belanjawan Negeri 2027 turut mengunjurkan hasil sebanyak RM1.069 bilion; meningkat RM800,000 atau 0.07 peratus berbanding RM1.068 bilion yang dianggarkan pada 2026.

“Peningkatan hasil itu mencerminkan usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh kedudukan fiskal selain memastikan pengurusan kewangan dilaksanakan secara berhemat,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2027 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Kon Yeow berkata, ketika ini, Hasil Bukan Cukai terus menjadi penyumbang utama hasil negeri melalui unjuran terimaan bayaran premium dan bayaran khas selain faedah pelaburan yang memberi pulangan yang konsisten.

Sementara itu, bagi perbelanjaan pembangunan pula, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM280.17 juta bagi 2027 iaitu berkurangan sebanyak RM38.4 juta atau 12.1 peratus berbanding tahun ini.

Katanya, walaupun berdepan keperluan pembangunan yang semakin mencabar, kerajaan negeri akan terus mengutamakan projek strategik yang mampu memperkukuh kapasiti negeri, meningkatkan kualiti hidup serta memberikan manfaat nyata kepada rakyat.

“Sebanyak 514 projek disenaraikan untuk pelaksanaan tahun depan, meliputi pembangunan infrastruktur awam, kemudahan masyarakat, pembangunan sukan dan projek strategik ekonomi.

“Antara keutamaan ialah projek untuk memperkukuh jaringan pengangkutan dan kesalinghubungan negeri, termasuk pengambilan tanah bagi pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT), Airport Link Road dan laluan ke Pulau Silikon,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini