PETALING JAYA: Harga lantai padi perlu disemak setiap tahun bagi memastikan harga belian hasil itu seimbang dengan kos pengeluaran semasa yang ditanggung pesawah.
Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, pesawah tidak mempunyai kebebasan menetapkan harga jualan sendiri kerana sektor itu dikawal dalam pelbagai aspek termasuk harga dan pelesenan.
Katanya, jurang antara pulangan daripada hasil padi dengan kos pengeluaran kini sangat kecil sehingga ada kalanya merugikan pesawah.
“Insentif juga perlu ditingkatkan berdasarkan hasil sebenar. Bagi pesawah, insentif pengeluaran boleh dinaikkan supaya peningkatan hasil benar-benar memberikan kesan kepada pendapatan.
“Walaupun padi yang dihasilkan berkualiti baik dan diusahakan sebaik mungkin, potongan minimum tetap sebanyak 20 peratus. Kadar ini bersamaan 200 kilogram bagi setiap satu tan padi.
“Kami mencadangkan kategori A dengan potongan antara 10 hingga 15 peratus dan kategori B antara 15 hingga 20 peratus. Kadar potongan maksimum adalah 20 peratus namun jika keadaan padi terlalu teruk, perkara itu boleh dibincangkan dengan pemiliknya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Rashid berkata, saluran pemasaran hasil padi perlu diperluas termasuk melalui sektor korporat supaya pesawah mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih baik serta tidak terlalu bergantung kepada pengilang.
Katanya, pengilang boleh menjual pelbagai hasil daripada padi yang diproses termasuk sekam, beras, dedak dan tenukut sedangkan pesawah hanya menjual padi.
“Fungsi atau peranan Lembaga Padi dan Beras Negara boleh dikembalikan melalui Belanjawan 2027 kerana kami berpendapat sistem itu lebih baik berbanding keadaan sekarang. Ketika itu, kebajikan pesawah terjaga dan terdapat banyak kilang padi milik bumiputera.
“Mekanisme jaminan pendapatan minimum boleh diwujudkan bagi membantu petani ketika harga pasaran atau hasil merosot akibat faktor di luar kawalan, seperti cuaca dan banjir,” katanya.
Beliau juga mencadangkan bantuan input pertanian bernilai RM4,300 bagi setiap hektar disalurkan terus kepada pesawah melalui sistem e-dompet supaya mereka boleh memilih sendiri baja dan racun yang mahu digunakan.
Katanya, pilihan kawalan secara organik dan biologi juga boleh dimasukkan kerana terdapat pesawah yang tidak berminat menggunakan bahan kimia sedangkan insentif kerajaan ketika ini menyebabkan mereka terpaksa menggunakan input kimia.
“Kami tidak mahu masalah pembekalan baja sebatian tambahan yang berlaku baru-baru ini berulang kerana keadaan itu menyebabkan petani mengalami kerugian,” katanya.-UTUSAN.











