Ismail Lasim tidak pernah serah surat letak jawatan Menteri Besar - Utusan Malaysia

Ismail Lasim tidak pernah serah surat letak jawatan Menteri Besar

ISMAIL Lasim, ketika sidang akhbar di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seremban. - UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Datuk Ismail Lasim hari ini mendedahkan bahawa beliau tidak pernah mengemukakan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir seperti yang didakwa berlaku pada Isnin lalu.

Katanya, beliau tidak pernah bersetuju dan tidak tahu menahu surat itu dihantar kepada Tuanku Muhriz dan hanya mengetahuinya melalui kenyataan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di media sosial kira-kira pukul 10 malam hari berkenaan.

Jelasnya, beliau tidak menghantar surat tersebut dan tidak tahu individu yang dikatakan menghantar surat itu ke Istana Hinggap di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tuanku Muhriz tidak berkenan dengan cara seperti itu (surat itu diserahkan dan kenyataan di media sosial).

“Baginda telah menitahkan dalam sesi mengadap tadi agar saya meneruskan khidmat sebagai Menteri Besar bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan kepentingan rakyat negeri ini terpelihara.

“Sehubungan itu saya akan terus melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh komitmen dan dedikasi,” katanya dalam sidang akhbar di perkarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mengadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di sini mulai pukul 10.42 pagi hingga 12.15 tengahari.

Isu peletakan jawatan Ismail menjadi hangat selepas beliau didakwa mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Tuanku Muhriz pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan pihak Istana juga belum mengesahkan ketulenan surat tersebut.

Didesak lebih lanjut mengenai surat berkenaan, Ismail enggan mengulas panjang dan meminta media hanya mengikut seperti kenyataan media olehnya.

“Surat (peletakan jawatan) memang ada dan disimpan di ibu pejabat parti tetapi saya tidak pernah bersetuju ia dihantar kepada Istana Negeri Sembilan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini