Ismail Lasim tiba menghadap Tuanku Muhriz

Ismail Lasim tiba menghadap Tuanku Muhriz

ISMAIL Lasim tiba di Istana Hinggap, Seremban.-UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim tiba di Istana Hinggap di sini hari ini bagi menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan kemelut politik negeri itu, khususnya berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar.

Terdahulu, kenderaan yang membawa Tuanku Muhriz dilihat memasuki pekarangan istana berkenaan kira-kira pukul 9.37 pagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Turut dilihat memasuki perkarangan istana berkenaan ialah kenderaan yang membawa Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Muhammad Faris Johari; Undang Luak Rembau, Datuk Hassan Ab Hamid dan Undang Luak Jelebu, Datuk Azrin Khairi.

Pertemuan hari ini merupakan kali kedua Ismail menghadap Tuanku Muhriz dalam minggu ini selepas pertemuan pertamanya pada petang Selasa lalu.

Perkembangan itu sekali lagi menjadi perhatian susulan persoalan mengenai status peletakan jawatan Ismail yang menjadi perbincangan sejak Isnin lalu.

Sebelum ini, Istana Negeri Sembilan menjelaskan bahawa peletakan jawatan Menteri Besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan baginda, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Kelmarin, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim mengesahkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang notis atau pemakluman rasmi berhubung peletakan jawatan Ismail.

Dalam perkembangan berasingan, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mengadakan pertemuan khas pada Selasa lalu bagi membincangkan situasi politik semasa negeri itu.

Pertemuan berkenaan menyaksikan kedua-dua gabungan mencapai kata sepakat untuk menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti masing-masing bagi menentukan calon Menteri Besar baharu.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada sebarang pengumuman rasmi berhubung status peletakan jawatan Ismail mahupun keputusan mengenai kepimpinan kerajaan negeri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini