PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor digesa menyemak semula pelaksanaan kuota bagi Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS), selepas dilihat boleh menyebabkan golongan warga emas serta orang kurang upaya (OKU) yang layak dinafikan bantuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Selangor Nurul Syazwani Noh dalam satu kenyataan berkata, rakyat sepatutnya menikmati manfaat bantuan berdasarkan syarat dan kelayakan ditetapkan, bukannya bergantung kepada siapa yang lebih awal mendaftar sehingga kuota penerima dipenuhi.
Menurutnya, warga emas dan golongan OKU juga merupakan dua kumpulan penerima berbeza serta akan meneliti perkara itu bagi memastikan bantuan disalurkan kepada kumpulan sasaran yang tepat.
“Jika seseorang warga emas atau OKU memenuhi syarat kelayakan, mengapa mereka perlu dinafikan manfaat hanya kerana peruntukan telah mencapai hadnya?
“Selangor mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh. Justeru, kerajaan perlu memastikan peruntukan kebajikan benar-benar mencerminkan keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, rakyat tidak sepatutnya terpaksa bersaing mendapatkan kuota selepas menunggu hampir dua tahun untuk menikmati semula manfaat skim kebajikan berkenaan.-UTUSAN











