PETALING JAYA: Sebanyak 26 peratus pekerja di Malaysia tidak menerima sebarang perubahan gaji selama sekurang-kurangnya 12 bulan, sekali gus meningkatkan risiko kehilangan tenaga kerja apabila kumpulan itu didapati 2.5 kali lebih berkemungkinan meletakkan jawatan.
Dapatan itu berdasarkan laporan Singapore and Malaysia Salary Guide Report 2027 yang diterbitkan Omni HR dengan kerjasama PAYGAP Asia, melibatkan rekod penggajian dan sumber manusia tanpa nama daripada lebih 200 majikan di tujuh pasaran Asia Pasifik serta maklum balas gaji dan sentimen pekerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Omni HR, Brian Ip berkata, walaupun gaji menjadi perkara utama yang dibandingkan pekerja, kepuasan terhadap pekerjaan dan persepsi terhadap keadilan kenaikan gaji turut mempengaruhi keputusan mereka untuk kekal dalam sesebuah organisasi.
“Majikan perlu memahami sama ada pekerja merasakan tugas mereka bermakna, sumbangan mereka dihargai dan mempunyai peluang untuk berkembang, selain memastikan keputusan berkaitan gaji dan perkembangan kerjaya disampaikan dengan jelas,” katanya.
Menurut laporan itu, peratusan pekerja yang tidak mengalami perubahan gaji meningkat kepada 36 peratus dalam kalangan mereka yang telah berkhidmat lebih setahun.
“Keadaan itu menunjukkan ketiadaan perkembangan dari segi ganjaran kewangan boleh menjadi petunjuk awal kepada risiko kehilangan pekerja, khususnya apabila mereka merasakan tempoh perkhidmatan tidak disusuli penghargaan melalui perubahan gaji,” katanya.
Omni HR mencadangkan majikan mengenal pasti pekerja yang tidak menerima perubahan gaji dalam tempoh 12 bulan lalu dan mengadakan perbincangan lebih awal bagi memahami jangkaan serta kebimbangan mereka sebelum keputusan untuk berhenti dibuat.
Dalam pada itu, laporan sama mendapati kepuasan kerja turut memainkan peranan penting dalam pengekalan pekerja apabila 91 peratus pekerja yang sangat berpuas hati dengan pekerjaan merancang untuk kekal, berbanding hanya enam peratus dalam kalangan mereka yang sangat tidak berpuas hati.
“Malah, pekerja yang berpuas hati dengan pekerjaan walaupun menerima gaji pada atau di bawah paras rakan setara adalah tiga kali lebih cenderung untuk kekal berbanding pekerja tidak berpuas hati yang dibayar lebih tinggi, masing-masing pada kadar 75 peratus dan 25 peratus,” katanya.
Laporan itu turut mendapati median kenaikan gaji pekerja di Malaysia apabila dinaikkan pangkat ialah 14 peratus, berbanding lima peratus bagi kenaikan gaji rutin. –UTUSAN











