MOGADISHU: Somalia mengusir Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas dakwaan negara Teluk itu mencampuri urusan dalamannya, sekali gus mengundang kecaman Abu Dhabi yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab.
Hubungan diplomatik antara Somalia dan UAE tegang berhubung beberapa isu utama, termasuk persepsi Abu Dhabi menyokong pengiktirafan Israel terhadap wilayah pemisah Somaliland.
Menteri Penerangan Somalia, Abdulfatah Qasim memaklumkan jemaah menteri telah mengarahkan Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa memanggil pulang Duta Besar Somalia ke UAE selain memaklumkan kepada Duta Besar UAE ke Somalia supaya meninggalkan negara itu dalam tempoh 72 jam.
Keputusan pengusiran tersebut dibuat susulan mesyuarat Kabinet yang menuduh UAE melakukan pencerobohan terang-terangan terhadap Somalia.
“Kerajaan Somalia sedang mengambil beberapa siri langkah bagi mempertahankan negara daripada tindakan UAE yang menyasarkan kedaulatan, integriti wilayah, perpaduan nasional, keselamatan dalaman dan kemerdekaan negara ini,” kata Abdulfatah.
Kementerian Luar UAE dalam satu kenyataan balas mengecam langkah berkenaan dan menyifatkannya sebagai pendekatan bermusuhan serta meningkatkan ketegangan oleh kerajaan Somalia terhadap Abu Dhabi.
Menurut kenyataan itu, tindakan pengusiran tersebut mencerminkan pendirian tidak bertanggungjawab yang menjejaskan hubungan dua hala serta melemahkan asas kerjasama antara kedua-dua negara.
Terdahulu pada Selasa, Presiden Somalia, Hassan Sheikh Mohamud dalam perutusan khasnya menuduh UAE sengaja mencetuskan perpecahan politik di negara Tanduk Afrika itu.
Hassan mendakwa UAE menyalurkan sokongan politik dan kewangan kepada beberapa negeri wilayah tertentu bagi membolehkan mereka menentang kerajaan persekutuan.
“Tindakan itu menggalakkan perbalahan politik dan menyemarakkan perpecahan dalam kalangan rakyat Somalia demi melemahkan kuasa negara serta memudahkan ia dikawal dari luar,” tegas beliau.
Hassan kini berdepan penentangan daripada pemimpin beberapa negeri persekutuan di Somalia termasuk wilayah berpengaruh seperti Puntland dan Jubaland yang mendakwa kerajaan pusat mencabuli bidang kuasa mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan tentera persekutuan turut memecat gabenor negeri Barat Daya sehingga mencetuskan pertempuran sengit di kawasan tersebut. -AFP











