MOGADISHU: Somalia tidak akan menerima kehadiran Israel di negara itu sama sekali dan akan menentang sebarang percubaan untuk diheret ke dalam krisis Asia Barat, kata Presidennya, Hassan Sheikh Mohamud kepada saluran berita Al Jazeera.
Bercakap dalam satu wawancara eksklusif, Mohamud memaklumkan bahawa Israel merancang untuk membina pangkalan tentera laut di Berbera dan menggunakan kemudahan lapangan terbang di bandar berkenaan. Beliau menambah bahawa matlamat sebenar rejim Zionis itu adalah untuk berada lebih dekat dengan negara-negara Teluk dan Iran.
Berbera merupakan sebuah bandar pelabuhan di pesisir Teluk Aden di Somaliland, iaitu wilayah yang mengisytiharkan kemerdekaannya sendiri di barat laut Somalia yang diiktiraf oleh Israel tahun lalu. Namun, Berbera masih dituntut oleh kerajaan pusat di Mogadishu.
Berbera berhadapan dengan Yemen di seberang perairan berhampiran Selat Bab al-Mandeb yang strategik di mana kumpulan Houthi sebelum ini mengenakan kepungan terhadap kapal-kapal yang mempunyai kaitan dengan Israel di kawasan berkenaan.
“Kami akan mengatasi segala cabaran yang ditimbulkan terhadap negara kami ekoran tindakan Israel,” kata Mohamud dalam wawancara menyeluruh tersebut.
Beliau menambah bahawa rancangan rejim Zionis itu tergolong di bawah projek Greater Israel. Katanya, ia merujuk kepada istilah bagi pelbagai cadangan yang sering berteraskan tafsiran kitab silam bagi meluaskan kawalan Israel ke atas wilayah di luar sempadannya yang sedia ada. Sebahagian versi merangkumi jajaran dari Sungai Nil hingga ke Sungai Euphrates.











