Negara Teluk kecam serangan dron Houthi di Madinah

Negara Teluk kecam serangan dron Houthi di Madinah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Negara-negara Teluk mengecam serangan dron Houthi ke atas stesen pengagihan elektrik di Madinah yang membekalkan tenaga kepada Masjid Nabawi, sambil menegaskan solidariti terhadap Arab Saudi susulan serangan terbaharu ke atas negara itu.

Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Kuwait mengeluarkan kenyataan berasingan mengutuk serangan ke atas stesen pengagihan elektrik Taiba yang menurut pihak berkuasa Arab Saudi dilakukan Houthi yang disokong Iran pada awal Selasa.

Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Jasem Albudaiwi berkata, tindakan menyasarkan stesen elektrik yang membekalkan tenaga kepada Masjid Nabawi merupakan peningkatan serius dan cubaan mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau menegaskan keselamatan Arab Saudi dan tempat-tempat sucinya merupakan bahagian penting keselamatan bersama negara anggota GCC, selain mengulangi sokongan teguh blok itu kepada Riyadh.

“Serangan itu melampaui semua batas, merupakan provokasi terang-terangan terhadap perasaan umat Islam di seluruh dunia dan peningkatan serius dalam pencabulan kesucian tempat-tempat suci Islam.

“Serangan itu mendedahkan pendekatan agresif yang tidak menghiraukan nilai agama dan kemanusiaan, susulan percubaan berulang kali untuk menyasarkan Dua Masjid Suci dan kawasan sekitarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Kementerian Luar UAE menyifatkan serangan itu sebagai pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan Arab Saudi serta ancaman terhadap keselamatan dan kestabilan negara berkenaan.

Kementerian itu turut mengulangi solidariti penuh UAE terhadap Arab Saudi dan sokongannya terhadap langkah yang diambil Riyadh bagi melindungi keselamatan dan kestabilannya.

Kementerian Luar Bahrain turut mengecam keras serangan berkenaan, menyifatkannya sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta peningkatan berbahaya yang melibatkan tempat-tempat suci Islam.

Bahrain turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil pendirian tegas terhadap serangan berulang Houthi ke atas infrastruktur awam dan tempat keagamaan, selain melaksanakan resolusi berkaitan Majlis Keselamatan termasuk Resolusi 2216.

Kuwait turut mengecam serangan itu dan berkata, tindakan berulang menyasarkan infrastruktur awam merupakan pencabulan terhadap kedaulatan Arab Saudi serta undang-undang antarabangsa.

Kementerian Luarnya mengulangi solidariti Kuwait terhadap Arab Saudi dan menegaskan keselamatan negara itu merupakan sebahagian penting daripada keselamatan Kuwait dan GCC secara keseluruhan.

Jordan mengecam serangan itu sebagai pencabulan terang-terangan terhadap kedaulatan Arab Saudi serta ancaman terhadap keselamatan, kestabilan dan keutuhan wilayah negara berkenaan, selain mengulangi solidariti mutlak terhadap Riyadh.

Turkiye turut senada, mengecam keras serangan Houthi ke atas infrastruktur yang membekalkan perkhidmatan kepada Masjid Nabawi.

Gabungan Pemulihan Legitimasi di Yemen pada Khamis mengumumkan siasatan termasuk pemeriksaan serpihan dron mendapati Houthi terlibat dalam merancang dan melaksanakan serangan itu.

Serangan berkenaan berlaku ketika Houthi kembali melancarkan serangan terhadap Arab Saudi.

Houthi turut pernah cuba menyerang Mekah dengan melancarkan dron ke arah kota suci itu yang berjaya dipintas pada bulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN