Polis boleh guna senjata api jika berdepan ancaman nyawa

Polis boleh guna senjata api jika berdepan ancaman nyawa

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibenarkan menggunakan senjata api bagi mempertahankan diri atau melindungi orang lain sekiranya berhadapan ancaman munasabah terhadap nyawa atau risiko kecederaan parah.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, anggota polis boleh mengambil tindakan segera yang munasabah apabila berdepan situasi berbahaya yang mengancam nyawa secara serta-merta.

Bagaimanapun, beliau berkata, penggunaan senjata api perlu tertakluk kepada peruntukan undang-undang, garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuat kuasa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, setiap tindakan menggunakan kekerasan hendaklah berlandaskan prinsip keperluan dan kewajaran serta sepadan dengan tahap ancaman yang dihadapi.

“Penggunaan kekerasan yang munasabah adalah penting khususnya ketika anggota menjalankan tugas seperti melakukan tangkapan, mengejar suspek, berhadapan ancaman penjenayah atau terserempak dengan penjenayah semasa bertugas.

“Bagaimanapun, setiap tindakan perlu mengambil kira tahap ancaman dan tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata, semua anggota polis diwajibkan mematuhi SOP serta arahan yang ditetapkan sebagai panduan dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan.

Menurutnya, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) khususnya tertakluk kepada SOP dalam Perintah Tetap Ketua Polis Negara berkaitan tindakan anggota peronda ketika berdepan serangan dan ancaman.

Jelasnya, SOP berkenaan merangkumi skop tugas, objektif, situasi serta tindakan yang perlu dilaksanakan anggota ketika menjalankan rondaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pegawai polis dilarang menggunakan kekerasan ketika melaksanakan tugas kecuali dalam keadaan tertentu khususnya apabila berdepan ancaman terhadap nyawa sehingga memerlukan tindakan mempertahankan diri menggunakan kekerasan munasabah, termasuk senjata api.

Katanya, penggunaan kekerasan termasuk senjata api hanya wajar dipertimbangkan apabila tiada pilihan lain yang lebih sesuai dan berkesan untuk menangani ancaman berkenaan.

“Sebagai garis panduan ketika berdepan sesuatu kejadian atau situasi keganasan, pegawai polis perlu menilai keadaan serta perilaku individu yang berhadapan dengan mereka.

“Pegawai seterusnya perlu merancang tindakan berdasarkan perilaku individu terbabit, termasuk tahap kerjasama, tentangan pasif atau aktif, perlakuan agresif serta risiko berlakunya kecederaan parah.

“Pegawai polis akan bertindak berdasarkan opsyen penggunaan kekerasan yang ada. Tahap kekerasan yang digunakan hendaklah sesuai dan sepadan dengan ancaman yang ditimbulkan suspek,” jelasnya.

Beliau berkata, sekiranya berlaku ancaman maut secara serta-merta, anggota polis tidak semestinya perlu melalui setiap peringkat penggunaan kekerasan sebelum mengambil tindakan mempertahankan diri termasuk menggunakan senjata api.

Katanya, kelewatan bertindak dalam situasi sedemikian boleh mengakibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan parah kepada anggota polis mahupun orang awam.

Justeru, katanya, setiap tindakan perlu mengambil kira aspek keperluan, kewajaran dan tahap ancaman yang dihadapi.

Mengulas mengenai latihan, beliau berkata, PDRM menyediakan latihan berkaitan penggunaan dan pengendalian senjata api kepada pegawai serta anggota mengikut kesesuaian dan keperluan tugas.

“Latihan ini bertujuan memastikan anggota mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam mengendalikan senjata api serta bertindak dengan selamat ketika berhadapan situasi kecemasan.

“Anggota MPV turut diberikan latihan lain selain penggunaan senjata api, termasuk tatacara tangkapan dan penggunaan senjata renjatan elektrik (Taser Gun),” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, JPJKK sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselamatan anggota yang menjalankan tugas penguatkuasaan dan pencegahan jenayah.

Katanya, pelbagai aspek perlu dinilai dan dikaji susulan kejadian yang berlaku, manakala sebarang kelemahan hanya dapat dikenal pasti selepas siasatan terhadap insiden berkenaan selesai.

“JPJKK sentiasa komited memastikan keselamatan dan kebajikan anggota yang menjalankan tugas rondaan serta pencegahan jenayah di lapangan.

“Sebarang cadangan penambahbaikan akan diteliti berdasarkan hasil penilaian dan siasatan supaya tindakan yang dilaksanakan benar-benar dapat meningkatkan tahap keselamatan anggota serta keberkesanan operasi MPV,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini