Rakyat Indonesia ditahan, seludup syabu guna laluan feri

Rakyat Indonesia ditahan, seludup syabu guna laluan feri

ALZAFNY Ahmad menunjukkan dadah yang disembunyikan semasa sidang akhbar di IPK Negeri Sembilan, Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Memuatkan artikel berkaitan…
SEREMBAN: Seorang warga Indonesia ditahan menyeludup lebih sembilan kilogram (kg) syabu ke negara itu di Terminal Pelepasan Jeti Penumpang Port Dickson, Port Dickson, pada 11 November lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira pukul 9.45 pagi ketika membawa sebuah bagasi berwarna hitam bersaiz sederhana yang telah diubah suai.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap bagasi itu menemukan enam bungkusan plastik berisi dadah disyaki syabu seberat 5.098 kg yang disembunyikan dalam ruang khas hasil pengubahsuaian berkenaan.
“Suspek yang berasal dari Achech itu dipercayai baru pertama kali memasuki ke negara ini pada 4 November lalu.
“Suspek juga merupakan seorang mahasiswa yang baru menamatkan pengajian dalam bidang Ilmu Pengetahuan Islam dan Arab di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Aceh.
“Hasil siasatan mendapati dia datang ke Malaysia selepas dihubungi seorang lagi lelaki warga Indonesia yang menawarkan peluang pekerjaan kepadanya,” katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Alzafny berkata, suspek yang sedang mencari pekerjaan itu dipercayai mengenali individu berkenaan menerusi media sosial dan kenalan di negara asalnya.
Dia ditawarkan pilihan sama ada bekerja di kedai makan atau menjadi pembawa dadah dari Malaysia ke Indonesia.
“Sebagai keldai dadah, suspek ditawarkan bayaran sebanyak 30 juta rupiah bagi setiap transaksi, bersamaan kira-kira RM6,000,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pemeriksaan lanjut di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur kira-kira pukul 2.45 petang pada hari sama menemukan sebuah lagi bagasi mengandungi enam bungkusan plastik berisi kira-kira 4.14 kg syabu yang disembunyikan di bilik sewa suspek sepanjang berada di negara ini.
Beliau berkata, keseluruhan rampasan berjumlah 9.238 kg syabu dengan nilai dianggarkan RM476,180.
“Berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak Jabatan Kastam Diraja (JKDM), terdapat kes rampasan dadah di Indonesia yang dipercayai dibawa masuk melalui Terminal Antarabangsa Port Dickson.
“Susulan itu,  Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan telah diarahkan menjalankan pemantauan sepanjang pergerakan feri dari Port Dickson ke Dumai dan Tanjung Balai, Indonesia,” katanya.
Alzafny berkata, suspek ditahan selepas pergerakannya di terminal berkenaan didapati mencurigakan ketika membawa bagasi terbabit.
“Pihak polis juga sudah mengenal pasti individu yang dipercayai menjadi dalang dalam kegiatan ini dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan,” katanya. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini