TELUK INTAN: Seorang lelaki Orang Asli mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur di Tapah, dua tahun lalu.
Tertuduh, Bah Jelee Semat, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rafidah Che Aziz.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 15 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pos Woh, Batu 7, Jalan Pahang di Tapah pada pukul 1 pagi pada April 2024.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dijalankan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Hajar Hamzah.
Hakim Rafidah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa selain melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 14 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN








