Persoalan di sebalik kes rogol bawah umur

Persoalan di sebalik kes rogol bawah umur

CADANGAN pindaan takrifan rogol mengikut keupayaan dan bukan semata-mata umur adalah selaras dengan perkembangan semasa, tetapi ia mesti dilaksanakan dengan berhati-hati. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERBAHASAN mengenai takrifan rogol dalam statut Kanun Keseksaan semakin mendesak untuk dikaji semula, khususnya dalam konteks perubahan tingkah laku sosial remaja dan penggunaan teknologi yang mempengaruhi corak hubungan antara lelaki dan perempuan.

Kes-kes rogol yang melibatkan remaja menunjukkan bahawa penggunaan umur sebagai kayu ukur tunggal bagi menentukan persetujuan seksual tidak lagi mampu menggambarkan realiti kompleks hubungan interpersonal masa kini.

Interaksi media sosial, yang sering menjadi permulaan hubungan intim, menjadikan isu kerelaan dan keupayaan remaja untuk memahami implikasi seksual lebih rumit daripada apa yang ditetapkan oleh undang-undang tradisional.

Pada 20 Oktober lalu, satu kes melibatkan seorang remaja perempuan yang didakwa menjadi mangsa rogol dibawa ke mahkamah, dan tertuduh telah direman di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Walaupun hubungan itu dilaporkan berlaku selepas komunikasi di media sosial, undang-undang tetap mengkategorikannya sebagai rogol kerana mangsa berumur di bawah 16 tahun.

Tertuduh yang mungkin hanya berjarak satu atau dua tahun lebih tua daripada ‘mangsa’, menanggung seluruh beban kesalahan, sedangkan hubungan seks tersebut berlaku atas kerelaan bersama.

Fenomena ini menimbulkan persoalan kritikal: Adakah undang-undang berasaskan umur semata-mata masih relevan dalam menilai kes rogol yang melibatkan remaja sebaya?

Situasi yang sama dapat dilihat dalam beberapa kes rogol bawah umur sepanjang 2025.

Antaranya, kes remaja lelaki 17 tahun di Sarawak yang ditahan atas dakwaan merogol dan menyebarkan video gadis bawah umur; kes empat pelajar berasrama penuh di Kedah yang disiasat walaupun hubungan dibuat atas kerelaan pelajar perempuan tersebut; kes di Melaka yang melibatkan empat pelajar lelaki dan seorang pelajar Tingkatan Tiga; serta kes di Seremban di mana seorang remaja lelaki 18 tahun mengaku bersalah melakukan hubungan dengan gadis hampir mencecah 16 tahun.

Perbandingan ini menunjukkan bahawa rogol bawah umur tidak wajar dinilai secara seragam. Ada kes yang jelas merupakan eksploitasi, tetapi ada juga kes yang lebih berkait dengan kekurangan kematangan dan kefahaman undang-undang dalam kalangan remaja sebaya. Dalam konteks inilah keperluan menilai semula takrifan rogol menjadi lebih mendesak.

Di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan, rogol ditakrifkan secara luas, dan Seksyen 375(g) menyatakan bahawa hubungan seksual dengan perempuan bawah umur 16 tahun adalah rogol walaupun dengan kerelaan.

“Kerelaan” secara mutlak dianggap tidak wujud semata-mata kerana umur atau jantina mangsa. Malangnya, realiti hari ini menunjukkan bahawa ramai remaja perempuan, khususnya yang telah baligh, mempunyai kapasiti emosi, kognitif dan fizikal untuk memahami dan membuat keputusan seksual (walaupun seringkali keputusan itu salah atau dipengaruhi persekitaran). Namun, mengapa mereka seakan “kebal” daripada sebarang pertuduhan?

Dalam konteks ini, aspek beban pembuktian menjadi sangat penting. Dalam kes rogol, pihak pendakwa raya lazimnya perlu membuktikan bahawa persetubuhan berlaku tanpa kerelaan atau bahawa mangsa tidak berkeupayaan memberikan persetujuan.

Namun, apabila gadis tersebut telah baligh dan menunjukkan keupayaan asas memahami interaksi seksual, analisis komunikasi antara kedua-dua pihak menjadi kritikal.

Beban pembuktian seharusnya turut melihat sama ada wujud komunikasi, seperti mesej, panggilan, perancangan pertemuan, perkongsian gambar intim, atau perkataan bernada seksual, yang menunjukkan kerelaan atau niat mangsa untuk melakukan hubungan tersebut.

Ini bukan bermaksud meletakkan beban kesalahan kepada mangsa, tetapi memastikan bahawa undang-undang membezakan antara kes eksploitasi sebenar dan kes hubungan konsensual antara remaja sebaya.

Dalam banyak kes, remaja perempuan sendiri memulakan komunikasi atau menzahirkan persetujuan melalui interaksi digital. Maka, komunikasi ini tidak boleh diketepikan sepenuhnya dalam menentukan elemen mens rea dan actus reus dalam perbicaraan rogol.

Malangnya, takrifan undang-undang semasa tidak memberi ruang kepada penilaian ini. Seksyen 375(g) menjadikan apa-apa bentuk komunikasi atau kerelaan tidak relevan sama sekali jika mangsa berumur bawah 16 tahun.

Undang-undang ini dibentuk dalam era di mana remaja dianggap jauh kurang matang dan tidak terdedah kepada maklumat seksual seperti hari ini, sedangkan kini, perkembangan teknologi dan media sosial telah mempercepatkan pemahaman dan naluri seksual dalam kalangan remaja.

Namun, reformasi yang dicadangkan mesti berjalan seiring dengan prinsip rehabilitasi, bukan pembalasan. Dalam undang-undang moden dan prinsip Islam, hukuman terhadap pelaku bawah umur termasuk terhadap anak gadis bertujuan mendidik, memperbetul tingkah laku dan mencegah pengulangan.

Khidmat masyarakat, kaunseling, pendidikan kesihatan seksual dan program pemulihan adalah beberapa contoh bentuk hukuman yang lebih sesuai untuk remaja, selagi ia berupaya mengajar pelajaran penting mengenai batasan seksual.

Cadangan pindaan takrifan rogol mengikut keupayaan dan bukan semata-mata umur adalah selaras dengan perkembangan semasa, tetapi ia mesti dilaksanakan dengan berhati-hati.

Undang-undang perlu menyeimbangkan perlindungan terhadap kanak-kanak dengan keadilan terhadap remaja sebaya serta mengambil kira kewujudan komunikasi yang mencerminkan kerelaan.

Pendekatan yang lebih nuansa, berasaskan bukti dan berpaksikan rehabilitasi akan memastikan undang-undang rogol terus relevan dan adil dalam masyarakat yang sedang berubah. – UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Setiausaha Kehormat Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Exco Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia dalam Proses Semakan Berkala Sejagat UPR (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN