Keusahawanan sosial membina mahasiswa prihatin

Keusahawanan sosial membina mahasiswa prihatin

GABUNGAN keusahawanan dan kesukarelawanan melahirkan mahasiswa berdikari, prihatin dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks, golongan belia bukan lagi sekadar pewaris masa depan, sebaliknya rakan strategik yang turut memainkan peranan penting dalam membentuk masa kini.

Belia perlu diberikan ruang, kepercayaan dan peluang untuk memimpin, mencipta penyelesaian serta memberikan impak kepada masyarakat. 

Justeru, kesukarelawanan dan keusahawanan merupakan dua elemen penting yang mampu bergerak seiring dalam memperkasa belia agar lebih berdaya tahan, kreatif, berdikari dan prihatin terhadap keperluan masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pendekatan ini amat bertepatan dengan agenda semasa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang memberi penekanan terhadap pembangunan mahasiswa secara holistik, pengukuhan kebolehpasaran graduan, keusahawanan, kesejahteraan masyarakat serta pembudayaan inovasi dan kelestarian.

Institusi pendidikan tinggi (IPT) bukan sekadar tempat menimba ilmu akademik tetapi juga medan untuk mahasiswa membina karakter, kemahiran kepimpinan dan keupayaan menyelesaikan masalah sebenar yang berlaku dalam masyarakat.

Dalam konteks ini, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mempunyai ekosistem yang subur dalam membudayakan keusahawanan. Antara contoh yang jelas ialah program Sumayyah Greenpreneur, sebuah program keusahawanan sosial yang digerakkan sekumpulan ahli jawatankuasa kolej kediaman dengan memanfaatkan geran KPT berjumlah RM35,000. 

Program ini memperlihatkan bagaimana mahasiswa bukan sahaja mampu mengurus dana dan melaksanakan aktiviti, malah berupaya mengubah sumber yang ada kepada sesuatu yang menghasilkan manfaat ekonomi dan sosial.

Sebanyak RM33,000 telah dijana melalui program tersebut, sekali gus menunjukkan potensi keusahawanan sosial dalam mewujudkan nilai ekonomi sambil menyelesaikan masalah masyarakat. 

Lebih penting, program ini tidak berhenti pada aspek penjanaan pendapatan semata-mata. Sebanyak 40 orang suri rumah daripada golongan B40 menjadi penerima manfaat melalui usaha membantu mereka memperoleh pendapatan sampingan yang boleh menyumbang kepada pengukuhan ekonomi keluarga.

Dua kemahiran utama diberikan kepada penerima manfaat. Pertama ialah kemahiran mengendalikan sistem akuaponik, yang menggabungkan penternakan ikan dan penanaman salad dalam satu sistem yang saling melengkapi.

Kedua ialah kemahiran mempelbagaikan produk berasaskan serbuk moringa supaya bahan mentah yang tersedia dapat diberikan nilai tambah melalui penghasilan produk yang mempunyai potensi pasaran.

Proses pemindahan ilmu ini dilaksanakan melalui beberapa siri bengkel bersama mentor dan ahli jawatankuasa kolej kediaman. Pendekatan sebegini amat signifikan kerana penerima manfaat tidak sekadar menerima bantuan dalam bentuk barangan atau kewangan, sebaliknya diberikan ilmu dan kemahiran yang boleh digunakan secara berterusan.

Inilah hakikat sebenar pemerkasaan iaitu membantu seseorang bukan sekadar untuk hari ini tetapi memberikan keupayaan untuk mereka membina masa depan sendiri.

Pada masa sama, mahasiswa yang terlibat turut mendapat manfaat besar. Mereka belajar mengurus projek, berkomunikasi dengan komuniti, menyelesaikan masalah, mengurus kewangan, membina jaringan dan memahami keperluan sebenar masyarakat. 

Pengalaman ini merupakan bentuk pembelajaran di luar bilik kuliah yang sangat bernilai dalam membentuk graduan yang bukan sahaja mempunyai ilmu tetapi juga mempunyai kompetensi, empati dan daya kepimpinan.

 

SEMANGAT SUKARELAWAN

UIAM dan kesukarelawanan ibarat lagu dan irama yang tidak dapat dipisahkan. Budaya menyantuni masyarakat, khususnya golongan rentan, bukan sekadar aktiviti kemasyarakatan, tetapi menjadi sebahagian daripada proses pembentukan mahasiswa yang mempunyai nilai ihsan, tanggungjawab sosial dan kesedaran terhadap realiti kehidupan masyarakat.

Semangat kesukarelawanan ini turut dapat dilihat melalui program menyantuni masyarakat Orang Asli di Pos Hau, apabila sejumlah RM22,000 ditaja bagi menyokong pelaksanaan program kemasyarakatan.

Inisiatif ini mencerminkan kecaknaan siswa terhadap keperluan golongan rentan yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan.

Antara bentuk bantuan yang disalurkan termasuk bakul makanan, keperluan persekolahan serta aktiviti mentoring untuk anak-anak Orang Asli. 

Pendekatan tersebut memperlihatkan kesukarelawanan tidak seharusnya terhad kepada pemberian bantuan material semata-mata.

Aspek pendidikan, pembangunan potensi dan pendampingan turut perlu diberikan perhatian kerana pendidikan merupakan antara instrumen penting untuk memutuskan kitaran kemiskinan dan membuka peluang mobiliti sosial.

Usaha seperti ini juga selari dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya berkaitan pembasmian kemiskinan, pendidikan berkualiti, pengurangan ketidaksamaan serta pembentukan komuniti yang lebih inklusif dan mampan. 

Dengan menghubungkan aktiviti kesukarelawanan kepada matlamat pembangunan mampan, mahasiswa dapat melihat tindakan kecil di peringkat komuniti sebenarnya mempunyai kaitan dengan agenda pembangunan yang lebih besar.

Apa yang lebih penting, kesukarelawanan dan keusahawanan tidak seharusnya dilihat sebagai dua bidang yang berasingan. Kesukarelawanan membina jiwa untuk memberi, manakala keusahawanan membina keupayaan untuk mencipta nilai.

Apabila kedua-duanya digabungkan, lahirlah satu pendekatan pemerkasaan yang lebih menyeluruh. Mahasiswa bukan sahaja membantu masyarakat menyelesaikan masalah tetapi turut belajar membina penyelesaian yang boleh bertahan dan berkembang.

Dalam konteks agenda KPT, pendekatan sebegini perlu terus diperkukuh melalui lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk memimpin projek berimpak, mengurus geran, membangunkan perusahaan sosial, menjalinkan kerjasama dengan komuniti serta mengukur impak program secara nyata. 

Kejayaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah program yang dilaksanakan  semata-mata tetapi berdasarkan perubahan yang berlaku kepada penerima manfaat dan pembangunan kompetensi mahasiswa.

Akhirnya, pemerkasaan belia bukan sekadar memberikan mereka peluang untuk bersuara tetapi memberikan mereka ruang untuk bertindak. 

Program seperti Sumayyah Greenpreneur dan usaha menyantuni masyarakat Orang Asli di Pos Hau membuktikan mahasiswa mampu menjadi ejen perubahan apabila diberikan kepercayaan, bimbingan dan sumber yang bersesuaian.

Kesukarelawanan memberikan jiwa kepada keusahawanan, manakala keusahawanan memberikan kelangsungan kepada kesukarelawanan. Kedua-duanya, apabila digerakkan bersama, mampu melahirkan generasi belia yang bukan sahaja berjaya untuk diri sendiri tetapi turut mampu mengangkat kehidupan orang lain.

Inilah wajah belia yang diperlukan negara. Merekalah belia yang berilmu, berkemahiran, berjiwa sukarelawan, berdaya usaha dan bersedia menjadi sebahagian daripada penyelesaian kepada cabaran masyarakat. –UTUSAN

DR. Shamshina Mohamad Hanifa ialah  Pensyarah Undang-undang, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini