Lawan arus tolak DAP, kegusaran Mohd. Isam terbukti

Lawan arus tolak DAP, kegusaran Mohd. Isam terbukti

MOHD. ISAM MOHD. ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAH dilabel pengkhianat kerana menolak kerjasama dengan DAP, pendirian DATUK MOHD. ISAM MOHD. ISA kini membuktikan kegusaran yang disuarakannya sebelum ini menjadi kenyataan apabila kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan DAP dilihat semakin sukar dipertahankan.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, Ahli Parlimen Tampin itu menegaskan kerjasama politik tidak boleh dibina atas kepentingan kuasa semata-mata, sebaliknya perlu berlandaskan keserasian prinsip serta penghormatan terhadap garis merah perjuangan.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), katanya, suara akar umbi tidak boleh diketepikan, terutama ketika penyatuan parti-parti Melayu semakin mendapat tempat. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya ketika ditemui di Parlimen baru-baru ini, dalam percaturan politik yang kian mencabar, penyatuan Melayu perlu diperkasa dan diperkukuh sebagai landasan perjuangan, bukannya dikorbankan demi kerjasama yang tidak sehaluan dengan prinsip sendiri.

——————————-

Apa sebenarnya akar umbi mahukan menjelang PRU16?

Kita bercakap terus terang, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, kita melihat pengundi, khususnya orang Melayu mahukan penyatuan dalam kalangan parti Melayu. Keputusan sudah dibuat dan nampaknya itulah jalan yang terbaik ketika ini.

Pun begitu, perlu faham ini bukan gabungan rasmi, sebaliknya hanya persefahaman antara BN- Perikatan Nasional (PN) dan ini nampaknya arah tuju BN ketika ini.

Sebab itu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beritahu beliau terbuka tetapi dalam masa sama perlu berhati-hati. Presiden juga beritahu perlu ada keikhlasan untuk bersama.

Negeri Sembilan membuktikan perkara itu boleh berlaku kalau kita ikhlas dan benar-benar mahu menang. Itulah caranya untuk dilaksanakan di negeri-negeri lain.

 

Kami melihat kerjasama BN-PH mungkin lebih mudah dari segi pembahagian kerusi berbanding BN-PN, pandangan Datuk bagaimana?

Saya tidak mahu bercakap tentang urusan negeri lain tetapi berdasarkan Negeri Sembilan, apa yang saya lihat di Tampin, masyarakat, khususnya orang Melayu, memang mahukan penyatuan dalam kalangan orang Melayu. 

 

Datuk nampak formula BN-PN ini sahajakah yang boleh betul-betul menaikkan BN dalam mendepani PRU16?

Bagi saya, setakat hari ini, itulah gelombang yang ada. Tiada gelombang lain lagi. 

 

BN tidak cukup kuat untuk pergi solo?

Kita bukanlah rasa tidak kuat untuk bertanding secara solo. Senang cakap, ada kerja mudah, kenapa cari yang susah? 

Sekarang, kita tidak boleh bercakap tentang BN sahaja kerana gabungan ini sudah pernah jatuh. Suka atau tidak, kita perlu akui pada 2018, kita sudah kalah dan hilang kerajaan negeri serta kerajaan Persekutuan buat kali pertama.

Jadi, kita kena sedar parti perlu dipulihkan semula. Buat masa sekarang, kita memerlukan rakan gabungan untuk bersama-sama meningkatkan kembali keyakinan pengundi terhadap UMNO dan parti-parti Melayu yang lain.

 

Benarkah rakyat sudah kembali terima BN?

Kita kalah disebabkan pelbagai persepsi dan janji. Orang mengatakan BN gagal. Namun, selepas pertukaran kerajaan, masyarakat mula melihat bukan semua perkara yang dinyatakan sebelum ini benar.

Mudah sahaja, kalau rakyat berasa selesa di bawah pentadbiran kerajaan baharu, perkara ini tidak akan timbul. Keyakinan pengundi terhadap kerajaan hari ini merosot disebabkan pelbagai tohmahan dan janji yang dibuat sebelum ini, yang pada pandangan saya, berlandaskan populariti untuk memenangi pilihan raya.

Saya selalu sebut, bukan mudah untuk kita memberikan segala-galanya kepada rakyat. Kita perlu mengikut kemampuan. Apabila rakyat hilang kepercayaan, mereka menukar kerajaan. Akhirnya, ada yang merasakan keadaan sekarang lebih susah berbanding dahulu.

Adakah BN sebenarnya mengundang padah sekiranya terus bekerjasama dengan PH?

Bagi saya, tidak. Kita masih mempunyai peluang jika bersama PH. Namun, dalam keadaan sekarang, persefahaman BN-PN nampaknya lebih diterima pengundi berbanding kerjasama BN-PH.

Kalau kita masih ingat PRN 2023, kita hampir ditolak walaupun BN  masih mempunyai kekuatan di Negeri Sembilan. Ketika itu, kita bertanding di 17 kerusi dan menang 14 kerusi. Kita antara parti tunggal yang memperoleh kemenangan paling banyak tetapi tanda penolakan itu sudah kelihatan. Majoriti yang diperoleh juga agak tipis.

Apabila melihat PRN15, kita dapat merasakan perubahan itu dengan lebih ketara. Kita ambil contoh di Tampin, Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh, BN menang bersama PH dengan majoriti majoriti 2,434 undi, manakala ketika bersama PN, majoriti kemenangan 7,393 undi.

Kita harus akui penerimaan pengundi lebih cenderung kepada gabungan yang mendapat sokongan mereka. Nampaknya, orang Melayu mula bersatu dalam gelombang biru.

 

Tapi dengan isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), bolehkah menjejaskan sokongan Melayu kepada BN/UMNO?

Kita tidak boleh menafikan sokongan akan mula terjejas disebabkan isu-isu sebegini. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk memperbetulkan keadaan.

Nampaknya, kerajaan hari ini sengaja membuka ruang yang boleh menyebabkan sokongan orang Melayu terhadap BN-PN terjejas.

Sebenarnya, isu berkenaan, termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), bukanlah perkara baharu. Isu lama ini cuba dikaitkan dengan UMNO. Namun, masyarakat hari ini tidak lagi seperti dahulu kerana mereka mempunyai akses kepada pelbagai maklumat yang boleh diteliti dan dinilai sendiri.

 

Datuk antara 10 ahli Parlimen UMNO yang melawan arus menolak kerjasama dengan DAP sebelum ini dan kini terbukti kerjasama ini tidak panjang. Komen?

Kadang-kadang orang mudah menuduh kita sebagai pengkhianat, melabel kita dengan pelbagai gelaran, malah menganggap kita jahat. Ketika itu, pendirian saya memang jelas. Saya tidak akan sama sekali bersama DAP. Itulah prinsip perjuangan saya sejak dahulu.

Hari ini, saya melihat pendirian yang saya nyatakan ketika itu ada kebenarannya. Kadang-kadang, kita merasakan sesuatu perkara itu benar tetapi kita tetap perlu menghormati keputusan parti sebab saya dipilih untuk bertanding atas tiket parti, bukannya atas nama saya sendiri.

Mungkin ketika itu saya tidak mempunyai ruang untuk menyuarakan pendirian secara terbuka. Itu mungkin cara saya menyampaikan pendirian. Namun, akhirnya saya tetap akur dan menerima keputusan parti.

 

Tiada perbincangan dengan presiden mengenai perkara ini?

Mungkin kesilapan saya ketika itu membuat keputusan secara terburu-buru tanpa berbincang dengan presiden kerana terlalu berpegang pada prinsip dan teras perjuangan parti.

Walaupun berada dalam Kerajaan Perpaduan, saya melihat ada perkara yang boleh kita bekerjasama dengan DAP tetapi apabila garis merah dilanggar, keadaan menjadi sukar.

Namun, penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bukan bermaksud kita bergabung dengan mana-mana parti, sebaliknya bagi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong. Presiden juga menegaskan kita akan bersama kerajaan sehingga tamat penggal ini.

Jadi, tuduhan mengkhianati parti perlu dilihat berdasarkan ketetapan yang dipersetujui. Begitu juga di Johor dan Negeri Sembilan, keputusan kerjasama di peringkat negeri perlu dihormati mengikut keadaan masing-masing.

Hubungan saya dengan presiden tidak bermasalah. Mungkin tindakan saya dahulu menimbulkan rasa tidak puas hati tetapi kita perlu menghormati institusi presiden. Saya juga menghargai jiwa besar beliau yang sanggup menerima semula mereka yang pernah keluar daripada parti demi kebaikan umat.

 

Sebenarnya apa penyelesaian terbaik bagi menjernihkan isu polemik takhta  di Negeri Sembilan?

Saya melihat perkara ini agak sukar untuk diselesaikan pada masa ini. Mungkin tempatnya adalah di mahkamah bagi menentukan keputusan. Saya tidak mahu masuk campur dalam urusan ini dan hanya berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik supaya kerajaan Negeri Sembilan di bawah BN tidak terjejas.

Berilah peluang kepada exco yang ada untuk menjalankan tugas masing-masing kerana mereka tidak bersalah. Janganlah jadikan perkara ini sebagai permainan politik sehingga akhirnya boleh menghancurkan negeri itu sendiri. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini