PETALING JAYA: Pembangunan Pelan Induk Industri Sukan Negara yang akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim esok merupakan usaha yang dirancang oleh Unit Industri Sukan, Kementerian Belia dan Sukan pada 2021.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau berbangga kerana usaha yang dimulakannya itu membuahkan hasil seperti dirancang.
Katanya, dasar itu langkah strategik untuk menggariskan hala tuju, strategi dan inisiatif yang memberi manfaat kepada keseluruhan industri sukan selain menjana pulangan ekonomi kepada negara, atlet serta penggiat sukan.
“Pembangunan pelan induk berkenaan adalah hasil kerja keras pasukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terutama Unit Industri Sukan yang diketuai oleh Mustaza Ahmad.
“Saya berpeluang bekerjasama dengan amat rapat dengan unit ini ketika saya diberikan amanah sebagai Menteri Belia dan Sukan pada tahun 2021,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, matlamat utama pelan itu adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai potensi ekonomi industri sukan.
“Manfaatnya bukan sahaja terhad kepada atlet dan pemain sukan, malah membuka peluang kepada orang ramai untuk turut terlibat dalam pelbagai bidang berkaitan industri berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pelan induk itu melalui 12 sesi libat urus bersama pemegang taruh dan penggiat industri sukan sejak November 2021 sebelum mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada Julai 2025.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan KBS serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan usaha ini dapat direalisasikan sehingga ke peringkat pelancaran rasmi.
“Saya berharap pelan induk ini dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri sukan yang lebih mampan, berdaya saing serta mampu menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN











