AMPANG: Amerika Syarikat (AS) digesa meneliti semula sebarang sekatan mengeksport cip yang melibatkan produk dihasilkan menerusi pelaburan syarikat negara itu di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil pendirian tegas dalam menangani isu tarif dan sekatan perdagangan, khususnya apabila ia membabitkan pelaburan syarikat AS yang menjalankan operasi pengeluaran cip di Malaysia.
Katanya, perkara berkaitan tarif kini sedang dikendalikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang memberikan perkembangan terkini kepada Jemaah Menteri.
Anwar berkata, kerajaan melihat keperluan membezakan antara cip yang dihasilkan di AS untuk dieksport ke negara lain dengan cip yang dikeluarkan menerusi pelaburan syarikat AS di Malaysia untuk dihantar semula ke pasaran negara itu.
“Umpamanya pelaburannya Amerika, cip itu untuk Amerika dan oleh syarikat Amerika. Jadi patut kita jelaskan, ya.
“Kalau ada sekatan cip yang dari Amerika untuk dijual ke luar negara lain, itu memang kita boleh pantau, ia terserah kepada pelabur.
“Tapi kalau cip pelaburan dari Amerika, bikin (buat) cip di sini, kemudian untuk dieksport ke Amerika, itu sepatutnya mereka teliti semula,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Ampang, di sini, hari ini.
Semalam, media antarabangsa melaporkan syarikat pengeluar cip, Nvidia mengarahkan rakan pengeluaranya menghentikan penghantaran pelayan komputer yang mengandungi cip kecerdasan buatan (AI) syarikat itu kepada pembeli di Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.
Laporan itu menyusul tindakan Amerika Syarikat (AS) memperketat kawalan eksport cip berkenaan selepas kontroversi berkaitan dakwaan pengintipan yang menyelubungi Nvidia.
Rakan pengeluarnya yang diminta berbuat demikian adalah Dell dan Supermicro, dua syarikat AS yang memasang cip AI Nvidia dalam pelayan untuk pusat data, sebagai antara rakan pengeluar yang terjejas.
Sejak 2022, Washington menyekat eksport cip termaju Nvidia ke China atas alasan keselamatan negara. Cip berkenaan digunakan untuk melatih dan mengendalikan sistem AI. – UTUSAN











