AMPANG: Kerajaan yakin tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyaman Google berhubung isu kandungan dalam talian tidak menjejaskan pelaburan syarikat gergasi itu di negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sudah dibincangkan secara langsung dengan Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet Inc., Ruth Porat yang memberikan jaminan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan bagi menangani isu terbabit.
Katanya, Google sedang meneliti perkara berkenaan dan dijangka mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan masalah yang dibangkitkan dapat diselesaikan.
“Semalam saya dapat hubungi Ruth Porat sendiri dan dia menjawab akan bekerjasama menangani masalah ini (kandungan dalam talian). Jadi tidak akan menjejaskan (pelaburan Google di Malaysia) sebenarnya,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Baru Ampang, di sini, hari ini.
Anwar berkata, antara perkara yang menjadi perhatian kerajaan dan MCMC adalah kegiatan perjudian dalam talian yang masih berleluasa menerusi platform digital.
Beliau berkata, kerajaan sudah mengemukakan laporan berhubung kegiatan berkenaan kepada Google, namun tindakan yang sewajarnya masih belum diambil walaupun laporan dibuat.
“(Tindakan) dalam proses kerana Google kadang sampai ada kes online gambling, perjudian dalam talian. Kita lapor enam bulan pun belum ambil tindakan. Tapi saya telah sampaikan juga kepada pihak Google (mengenai perkara ini).
“Saya percaya pihak Google sedang meneliti dan mengambil tindakan yang wajar,” katanya.
Rabu lalu, MCMC mengumumkan dua tindakan undang-undang terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta.
Saman pertama melibatkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan, termasuk berkaitan perjudian dalam talian dan penipuan, manakala saman kedua berkaitan penerbitan semula kandungan oleh Papagomo yang didakwa melanggar undang-undang.
Bagi setiap saman, MCMC menuntut RM300 juta, merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan. – UTUSAN











