Kenapa siasat saya, minit mesyuarat Lembaga Pengampunan telah dinyahklasifikasikan - Tony Pua - Utusan Malaysia

Kenapa siasat saya, minit mesyuarat Lembaga Pengampunan telah dinyahklasifikasikan – Tony Pua

TONY PUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mempersoalkan keperluan siasatan terhadap dirinya berhubung penyiaran beberapa muka surat minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pihak tertentu termasuk UMNO dan Pas yang membangkitkan isu berkenaan perlu memahami kedudukan undang-undang, memandangkan dokumen terbabit telah dinyahklasifikasikan.

Menurutnya, perkara itu juga sudah dijelaskan oleh menteri di Parlimen yang mengesahkan status penyahklasifikasian dokumen berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya memberikan kerjasama sepenuhnya. Pada pandangan saya, perkara ini sebenarnya tidak perlu disiasat kerana dokumen berkenaan sudah dinyahklasifikasikan.

“Menteri juga sudah menjawab perkara itu di Parlimen dan mengesahkan bahawa dokumen tersebut telah dinyahklasifikasikan. Jadi, apa lagi yang hendak disiasat?” katanya ketika ditemui selepas selesai memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tony Pua berkata, keterangannya dirakam berhubung hantaran Facebook yang diterbitkan pada 18 November lalu yang memaparkan beberapa muka surat minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berserta penjelasan mengenai kandungannya.

Katanya, antara perkara yang ditanyakan pegawai penyiasat termasuk kandungan hantaran berkenaan serta maksud gelaran ‘king kleptocrat’ yang digunakan dalam penulisannya.

“Saya menjelaskan bahawa saya hanya menterjemahkan kandungan minit mesyuarat tersebut ke dalam bahasa Inggeris.

“Apabila ditanya siapa yang saya maksudkan sebagai ‘king kleptocrat’, saya merujuk kepada Najib Razak kerana beliau merupakan seorang pesalah yang telah disabitkan dan menjalani hukuman penjara berhubung kes pengubahan wang haram, pecah amanah serta penyalahgunaan kuasa,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa hantaran berkenaan bukan bertujuan menegur atau mengkritik mana-mana individu yang disebut dalam dokumen terbabit.

Sebaliknya, hanya menyampaikan kandungan minit mesyuarat berkenaan.

Tony Pua berkata, beliau bersedia menjawab sebarang pertuduhan sekiranya didapati melakukan kesalahan.

“Saya tidak menafikannya. Bagaimanapun, sekiranya terdapat sebarang kesalahan, saya akan menjawabnya di mahkamah,” jelasnya.

Menurutnya, sesi rakaman percakapan itu berlangsung kira-kira 45 minit dalam suasana profesional.

Ditanya mengenai peruntukan undang-undang yang digunakan dalam siasatan berkenaan, beliau memaklumkan ia membabitkan Seksyen 203A dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Tony Pua yang juga bekas pemimpin DAP hadir ke Bukit Aman bagi memberikan keterangan berhubung dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan itu.

Beliau tiba kira-kira pukul 9.53 pagi dengan ditemani peguam sebelum memasuki bangunan ibu pejabat polis berkenaan pada pukul 10 pagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini