PASIR MAS: Pelajar dan guru Pondok Alor Durian,Kampung Bukit di sini akhirnya dapat menikmati bekalan air bersih selepas menerima sumbangan penapis air bersih selepas enam tahun berdepan masalah air telaga keruh dan berkeladak.
Mudir Pondok Alor Durian, Mohd Nasir Mamat berkata, sumbangan tersebut daripada Etiqa dan Islamic Aid Malaysia (IAM) menerusi Projek Bekalan Air Bersih 2026 menggantikan penapis sedia ada yang kurang berkesan selain tidak berkualiti.
“Pondok kini dibekalkan penapis air sumbangan Etiqa dan IAM.
“Sebelum ini, dengan penapis lama air telaga itu tetap keruh dan pelajar di sini terpaksa menggunakannya air yang tidak bersih itu untuk mandi dan kegunaaan harian yang lain,” katanya selepas Projek Bekalan Air Bersih 2026 di Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Susu di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden IAM Zawahir Abdullah berkata, Etiqa dan IAM bekerjasama menjayakan Projek Bekalan Air Bersih 2026 dengan memberi tumpuan kepada penyediaan kemudahan penapisan air bagi institusi dan komuniti yang memerlukan.
“Pusat tahfiz dan madrasah, sekolah, surau, masjid serta rumah kebajikan terpilih akan menerima bantuan penapis air ini. Sebanyak 80 unit set penapis air luar bangunan disalurkan kepada institusi terpilih itu,” katanya. – UTUSAN









