130 penduduk Kampung Telinting terima air bersih, lampu solar

130 penduduk Kampung Telinting terima air bersih, lampu solar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 130 penduduk daripada 30 isi rumah di Kampung Telinting, Papar, Sabah kini menikmati bekalan air bersih dan kemudahan lampu berkuasa solar menerusi Projek Pembangunan Sistem Air Bersih dan Tenaga Solar.

Projek bernilai RM300,000 itu dibiayai RHB Islamic Bank sebagai penyumbang utama dengan kerjasama Yayasan Ikhlas.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan bagi memperkasa komuniti luar bandar serta meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui pembangunan mampan dan berimpak tinggi.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank, Datuk Adissadikin Ali berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen RHB Islamic Bank untuk mewujudkan impak sosial bermakna kepada komuniti yang memerlukan.

Menurutnya, pembangunan sesebuah komuniti bermula apabila keperluan asas masyarakat dapat dipenuhi.

“Kami percaya pembangunan sesebuah komuniti bermula apabila keperluan asas masyarakat dapat dipenuhi.

“Sebab itulah akses kepada air bersih dan bekalan tenaga merupakan asas penting dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat,” katanya dalam kenyataan.

Adissadikin berkata, projek di Kampung Telinting itu mencerminkan komitmen berterusan RHB Islamic Bank dalam memperkasa komuniti melalui penyediaan kemudahan asas yang memberi manfaat berkekalan.

“Semoga usaha yang kita laksanakan bersama pada hari ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif yang dapat membawa kebaikan, bukan sahaja di Kampung Telinting, malah di seluruh Sabah,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Ikhlas, Prof. Dr. Azmi Md. Nor. Azmi merakamkan penghargaan kepada RHB Islamic Bank atas kepercayaan dan sokongan diberikan dalam menjayakan projek berkenaan.

Katanya, kerjasama strategik antara organisasi kebajikan dan sektor korporat mampu menghasilkan impak besar kepada masyarakat.

“Dengan adanya sistem air bersih dan kemudahan tenaga solar ini, penduduk Kampung Telinting kini dapat menikmati kemudahan asas yang lebih baik serta peningkatan kualiti hidup yang lebih menyeluruh,” katanya.

Azmi berkata, Yayasan Ikhlas akan terus memperluas usaha pembangunan komuniti khususnya di kawasan luar bandar yang masih memerlukan akses kepada kemudahan asas dan infrastruktur mampan.

“Sehingga kini, Yayasan Ikhlas melaksanakan 19 Projek Pembangunan Sistem Air Bersih dan 19 Projek Tenaga Solar di pedalaman Sabah, Sarawak, Kelantan dan Kedah,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN